Thursday, March 20, 2008

MENANGANI KETIDAKSEIMBANGAN GULA SECARA SEMULA JADI

BERITA HARIAN : Citra
Khamis (20/03/2008)

ADAKAH anda sering berkeinginan untuk makan makanan manis, ketagihan kopi atau teh sekitar waktu tengah hari, mungkin juga kerap terbangun waktu malam dengan perasaan resah dan inginkan makanan ringan?

Anda mungkin juga sering keletihan dan tidak bertenaga pada sesetengah hari yang mungkin juga diikuti dengan lemah daya tumpuan serta kerap pening kepala? Ini adalah antara gejala yang dialami akibat ketidakseimbangan gula dalam darah.

Ketidakseimbangan gula dalam darah ialah keadaan tubuh yang gagal mengawal glukosa secara berkesan. Hormon insulin mengawal paras gula darah agar berada dalam julat yang sepatutnya. Dalam ketidakseimbangan gula, kedua-dua insulin dan glukosa dalam darah tetap tinggi, manakala sesetengah sel tetap kekurangan glukosa.

Kekurangan penghasilan insulin menyebabkan ketidakseimbangan gula darah berlaku dan tanpa kawalan yang baik ia boleh menjurus kepada diabetes melitus.

Sekiranya anda mempunyai berat badan berlebihan dan mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes, anda seharusnya lebih berhati-hati kerana anda berisiko tinggi untuk mengalami masalah ketidakseimbangan gula. Begitu juga mereka yang kurang melakukan aktiviti fizikal dan mereka yang mengambil makanan berkarbohidrat tinggi secara berlebihan.

Bagi penghidap diabetes pula, mereka haruslah sentiasa mengawal paras gula dalam badan dan cuba kekalkan ke paras yang paling normal untuk memperlahankan komplikasinya. Antara komplikasi diabetes termasuklah aterosklerosis, iaitu penyumbatan saluran darah dan akan menjejaskan pengaliran darah.

Diabetik retinopati bermakna penglihatan yang semakin merosot akibat diabetes terutama dalam jangka panjang. Komplikasi lain termasuklah kerosakan buah pinggang, kejadian ulser kaki yang sukar disembuhkan dan sering menjurus kepada pemotongan kaki. Penghidap diabetes juga berisko tinggi untuk mendapat serangan jantung dan strok.

Bagi mereka yang ingin mencuba remedi herba, ada beberapa jenis herba tradisional yang boleh digunakan. Contohnya, gymnema iaitu herba tradisional yang terkenal di kalangan masyarakat India yang digunakan sejak sekian lama untuk merawat diabetes. Bahan aktif asid gimnemik boleh mengurangkan penyerapan gula daripada saluran penghadaman di samping menghalang penyimpanan glikogen. Fenugreek membantu meningkat tindak balas tisu terhadap insulin dan memperbaiki metabolisme karbohidrat.

Peria juga mempunyai bahan aktif yang boleh merendahkan paras gula. Berdasarkan kajian yang dibuat ke atas penghidap diabetes, mendapati ia memberi kesan yang memberangsangkan untuk mengawal paras gula dalam darah. Kombinasi holy basil dan herba berkenaan didapati memberi kesan yang lebih baik.

Kajian menunjukkan pengambilan sesetengah vitamin atau nutrien seperti asid alfa lipoik dapat mengurangkan kerintangan insulin serta meningkatkan kepekaan insulin. Pengambilan asid alfa lipoik juga membantu meningkatkan penggunaan glukosa (bagi mereka yang mengalami hiperglisemia).

INFO:

Bagi mengawal peningkatan paras gula, kita sangat digalakkan menggunakan pendekatan semula jadi seperti:

· Mengehadkan pengambilan karbohidrat ringkas seperti nasi, roti putih, makan pencuci mulut seperti kek, biskut dan minuman manis.
· Kurangkan pengambilan lemak tepu seperti banyak terkandung dalam daging merah, kulit ayam dan juga makanan bergoreng.
· Anda boleh mengambil makanan dengan lebih kerap, tetapi dengan jumlah yang lebih kecil.
· Jauhi rokok dan alkohol
· Senaman sangat digalakkan. Pilihlah aktiviti bersesuaian dan menyeronokkan. · Sekiranya anda menyesaki anda mempunyai diabetes atau berisiko, buatlah ujian darah secara berkala.

Sila Layari :
www.xmpsp.com

No comments:

Post a Comment