Saturday, March 22, 2008

GLAUKOMA BOLEH DIKAWAL ELAK BUTA

BERITA HARIAN : Citra
Oleh Halina Mohd Noor

PENTING : Pemeriksaan mata dapat mengesan glaukoma lebih awal

Golongan berusia 40 tahun ke atas digalak jalani saringan pemeriksaan mata


SEKIRANYA anda sering terlanggar perabot rumah atau tidak nampak papan tanda di tepi jalan ketika memandu, berkemungkinan anda sedang mengalami kehilangan penglihatan yang jika tidak dirawat boleh menyebabkan kebutaan kekal. Dikenali sebagai glaukoma, menurut Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), ia adalah ancaman kebutaan kedua selepas diabetik yang kurang disedari ramai.

Di kalangan doktor, glaukoma dikenali sebagai 'pencuri senyap penglihatan' kerana penyakit mata ini sukar dikesan selain tidak menyebabkan rasa sakit. Pesakit lazimnya tidak sedar kehilangan penglihatan tepi mata kerana penglihatan tengah tidak terganggu. Apabila berada pada tahap kronik, pesakit lazimnya mempunyai penglihatan yang begitu sempit sehingga menyebabkan mereka hanya boleh membaca saja. Keadaan ini menjadikan pesakit seolah-olah melihat melalui teropong kecil.

Ketua Jabatan Oftalmologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof (K) Dr Ropilah Abdul Rahman, berkata hampir 50 peratus kes glaukoma tidak dapat dikesan di negara maju. Kadar itu lebih tinggi di negara membangun iaitu sebanyak 90 peratus akibat tidak mengamalkan pemeriksaan mata secara tetap, sekali gus menyebabkan pesakit hanya datang berjumpa doktor selepas berada pada tahap teruk.

"Glaukoma berlaku akibat kepelbagaian penyakit mata yang menyebabkan kerosakan saraf optik. Di dalam mata yang berbentuk seperti bola, ada saraf yang membawa maklumat ke saraf pusat dan dianalisa otak sebelum kita dapat melihat sesuatu objek. Di dalam bola mata ada tekanan (seperti tekanan darah) yang dikenali sebagai tekanan intrakular.

"Selain itu, ada juga badan ciliary yang mengeluarkan cairan mengandungi zat dan oksigen yang memberi makanan kepada struktur mata. Apabila pengeluaran cairan ini tidak seimbang, ia menyebabkan tekanan tinggi dalam bola mata yang merosakkan saraf mata. Tekanan ini juga menyebabkan pembuluh darah di dalam saraf optik tidak dapat mengalirkan darah pada mata untuk menyalurkan maklumat ke otak bagi memberitahu apa yang dilihat mata," katanya.

Dr Ropilah ditemui pada majlis sambutan Hari Glaukoma Sedunia 2008 yang diadakan buat julung kali di HUKM mahupun seluruh dunia. Majlis berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Glaukoma Sedunia dan Pertubuhan Pesakit Glaukoma Sedunia. Hari Glaukoma peringkat antarabangsa diraikan pada 6 Mac. Hadir merasmikan majlis berkenaan, Dekan dan Pengarah Pusat Kesihatan UKM, Prof Datuk Dr Lokman Saim.

Secara umumnya, mata dapat melihat dengan keluasan 100 darjah ke tepi mata. Pada tahap awal, penghidap akan mengalami kehilangan penglihatan lapang atau tepi mata ini sedikit demi sedikit tanpa disedari sehinggalah kehilangan penglihatan tengah pula. Kehilangan penglihatan tengah yang dianggap tahap lanjut atau kronik ini menyebabkan pesakit hanya boleh membaca saja iaitu seperti melihat melalui teropong kecil.

Saraf optik mengandungi satu juta asson atau serat. Doktor boleh mengenal pasti glaukoma apabila mendapati ada bahagian tengah cawan mata kosong akibat kehilangan serat ini. Bahagian mata putih juga menjadi merah dan kelihatan pucat.

"Glaukoma tidak boleh disembuhkan seperti juga kencing manis. Bagaimanapun, ia boleh dikawal daripada menjadi lebih teruk seperti buta. Sebaliknya ia boleh dicegah sekiranya dikesan awal. Ini boleh dilakukan dengan menjalani saringan pemeriksaan mata terutama mereka yang berusia 40 tahun ke atas. Semakin meningkat usia, semakin tinggi risiko menghidap glaukoma. Individu yang mempunyai sejarah ahli keluarga terdekat yang pernah menghidap glaukoma, mengalami rabun jauh atau myopia, penghidap kencing manis, migrain atau yang sering berdengkur ketika tidur perlu menjalani pemeriksaan lebih awal.

BAHAYA PENYAKIT: Peringkat kehilangan lapang mata yang akhirnya menyebabkan kebutaan.

"Berdengkur boleh dikaitkan dengan glaukoma kerana pada waktu tidur, lidah berada di belakang dan menyumbat saluran pernafasan. Ini menyebabkan oksigen diterima kurang yang mendedahkan individu berkenaan kepada risiko serangan jantung. Oksigen berkurangan pada saraf pusat dan mata turut mendedahkan mereka yang tidur berdengkur dengan glaukoma," katanya.

Glaukoma terbahagi kepada jenis kronik, akut, kongenital (sejak lahir) dan sekunder. Glaukoma primari (sudut mata terbuka) dan sekunder (sudut mata tertutup) iaitu yang paling kerap ditemui.

"Glaukoma adalah penyakit progresif yang menyebabkan punca utama kebutaan di Malaysia. Beban rawatan dan pembedahan akibat glaukoma dijangka terus meningkat pada 2020 dengan 11 juta pesakit di seluruh dunia. Justeru, sambutan Hari Glaukoma Sedunia diadakan untuk mempertingkatkan kesedaran mengenai bahayanya dan mengurangkan risiko kebutaan akibat glaukoma," katanya.

Sempena sambutan berkenaan, orang ramai diberi peluang menjalani pemeriksaan mata di klinik Oftalmologi, HUKM secara percuma pada 19 Februari dan 1 Mac lalu.

FAKTA: Jenis glaukoma

Glaukoma primari

Risiko (sama dengan glaukoma lain):
• Individu berusia lebih 40 tahun ke atas.
• Mempunyai sejarah keluarga menghidap glaukoma.
• Tekanan intrakular yang tinggi iaitu melebihi 21 mm merkuri berbanding biasa iaitu 16 mm merkuri. (Ada yang tekanannya normal, tetapi masih mengalami glaukoma akibat faktor lain).
• Pesakit jantung
• Individu yang tangannya sentiasa sejuk (penyakit reynolds)
• Pernah menjalani pembedahan besar seperti jantung.

Ciri klinikal (sama dengan glaukoma lain):
• Terjadi secara senyap dan tidak hanya berlaku pada sebelah mata saja.
• Bila berjalan, sering melanggar objek di sekitar mereka kerana lapang pandang yang sempit. Individu ini tidak boleh memandu kerana sangat bahaya.

Rawatan:
• Bermatlamat mencegah kebutaan dengan merawat saraf yang masih berfungsi.
• Ubat khusus digunakan bagi menurunkan tekanan.
• Pembedahan trabeculectamy atau laser perlu dilakukan (jika ubat tidak membantu). Bagaimanapun, ia lazimnya tidak memberikan kesan jangka panjang.

Glaukoma sekunder

Risiko umum:
• Mempunyai bola mata kecil.
• Rabun jauh dan dekat yang kronik.
• Mempunyai kanta mata yang tebal.
• Kamar anterior mata yang dangkal.

Ciri klinikal
• Sakit pada mata atau kepala yang tidak dapat diceritakan.
• Pesakit rasa mual dan muntah.
• Penglihatan kabur dan sakit kepala akibat tekanan.
• Apabila melihat cahaya, nampak pelbagai warna seakan pelangi. Keadaan ini dipanggil Haloes yang menyebabkan bahagian depan mata bengkak, merah dan kelihatan mengembang.

Rawatan:
• Menggunakan ubat secara sistematik dan topikal.
• Rawatan laser untuk menebuk lubang bagi memberi laluan kepada cairan mata atau aqueos.

Glaukoma Kongenital

Glaukoma juga berlaku di kalangan kanak-kanak sewaktu dilahirkan atau dikenali sebagai glaukoma kongenital. Bagaimanapun, ia jarang berlaku iaitu satu bagi setiap 5,000 sehingga 10,000 bagi kelahiran hidup. Ia boleh diwarisi dan lebih kerap berlaku di kalangan kanak-kanak lelaki dengan anggaran 60 hingga 70 peratus. 80 peratus membabitkan kedua belah mata dan 40 peratus menunjukkan gejala pada bulan pertama kelahiran.

Risiko umum:
• Mempunyai ibu bapa atau saudara terdekat mengalami glaukoma.
• Penyakit lain seperti rubela.
• Mata tidak berkembang apabila memasuki usia 7 tahun.

Ciri klinikal:
• Bola mata yang membesar akibat tekanan tinggi (Buphthalmus).
• Mata berair dan silau.

Glaukoma Sekunder

Risiko:
• Kencing manis
• Katarak yang terbiar atau tidak dirawat.
• Kecederaan mata
• Pengambilan steroid tanpa kawalan dalam bentuk ubat titis, oral atau ubat tradisional.
• Penggunaan kanta sesentuh yang kurang penjagaan kebersihan.

Ciri klinikal:
• Sama seperti glaukoma lain.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

No comments:

Post a Comment