Saturday, March 29, 2008

VAGINITIS KENA JALANI UJIAN MAKMAL

BERITA HARIAN : Diagnosis
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my

Jangkitan vagina boleh melarat hingga membawa kepada penyakit keradangan pelvis (PID), berpotensi jejaskan kesuburan dan kehamilan luar rahim

JANGKITAN vagina atau dikenali sebagai vaginitis adalah masalah yang biasa dialami wanita, tetapi tidak semua mendapat rawatan yang betul sehingga menyebabkan masalah itu berterusan bertahun-tahun.

Vaginitis adalah radang pada vagina yang menyebabkan lelehan (discharge), kegatalan, rasa sakit selain seperti terbakar ketika hubungan intim. Selalunya punca vaginitis disebabkan perubahan dalam keseimbangan bakteria normal vagina atau mungkin juga disebabkan jangkitan.

Secara lazimnya, selain jangkitan dan bakteria, ia mungkin disebabkan protozoa dan fungus atau jangkitan campuran atau serentak dengan sekurang-kurangnya dua daripada tiga patogen itu. Vaginitis juga boleh terjadi apabila tahap estrogen merosot selepas putus haid.

Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan dan Perbidanan Fetal, Dr S Raman, berkata dianggarkan seorang dalam setiap lima wanita berjumpa pakar sakit puan kerana masalah vaginitis. Bagaimanapun, kebanyakan mereka tidak tahu punca jangkitan.

"Sungguhpun vaginitis masalah ginekologi yang biasa, ia sukar disahkan kerana terlalu banyak punca yang boleh menyebabkannya.

"Tambahan pula gejala vaginitis agak mengelirukan selain sikap sesetengah doktor yang tidak melakukan diagnosis dengan sempurna seperti mengambil contoh lelehan vaginitis untuk analisis makmal," katanya.

Lelehan daripada vagina adalah masalah biasa terutama apabila berlaku perubahan hormon atau pada waktu subur. Bagaimanapun, apabila jumlahnya banyak, berwarna kelabu, hijau atau seakan keju yang likat, disertai pula rasa pedih dan sakit, ia bukan normal.

Oleh kerana malu, selain vaginitis tidak menyebabkan kematian, ramai wanita hanya mendiamkan diri.

Jika vaginitis berpunca daripada bakteria, ia boleh melarat hingga membawa kepada penyakit keradangan pelvis (PID) yang seterusnya berpotensi menjejaskan kesuburan dan menyebabkan kehamilan luar rahim. Malah, jika puncanya adalah gabungan antara bakteria dan trikomoniasis (bakteria yang berada dalam usus) ia boleh menjejaskan kehamilan hingga menimbulkan masalah kelahiran tidak cukup bulan dan bayi lahir dengan masalah kurang berat badan.

Dr Raman berkata, dari sudut yang lain pula, punca vaginitis tidak boleh ditentukan atau dikenal pasti secara tepat berasaskan gejala atau pemeriksaan fizikal saja.

Diagnosis vaginitis katanya, memerlukan pemeriksaan contoh lelehan vagina menggunakan mikroskop.

"Keberkesanan ujian bukan saja berbeza dan sentiasa tepat kerana diagnosis sedemikian mengambil masa dan boleh meningkatkan kos kepada pesakit secara keseluruhan. Bagi wanita yang mengalaminya akan terus berasa tidak selesa dan ada kalanya jangkitan semakin teruk," katanya

Dr Raman berkata, wanita yang mengalami vaginitis boleh menuntut doktor yang merawat mengambil sampel lelehan vaginitis untuk ujian makmal. Berdasarkan keputusan itu, ubat yang bersesuaian dengan faktor jangkitan akan diberikan. Di pasaran, Bayer Schering Pharma memperkenalkan terapi campuran yang mudah untuk diguna, tidak kira apa jua punca vaginitis atau diagnosisnya.

Gejala dan simptom
• Perubahan dalam warna, bau atau jumlah lelehan yang keluar daripada vagina
• Vagina seperti terbakar dan gatal
• Sakit ketika hubungan intim
• Sakit ketika membuang air kecil
• Vagina yang mengalami sedikit pendarahan

Punca vaginitis

Bakteria
Ia punca biasa vaginitis di kalangan wanita yang subur untuk melahirkan anak. Biasanya ditandai dengan lelehan vagina yang tidak normal dan berbau hanyir. Malah, baunya lebih kuat selepas hubungan kelamin.

Trikomoniasis
Biasanya ia jangkitan saluran usus. Lelehan vagina berwarna kuning kehijauan atau kelabu secara keterlaluan. Jangkitan trikomoniasis juga menyebabkan ketidakselesaan ketika hubungan intim, kencing, vagina yang berbau, kemaluan rasa gatal dan pedih selain sakit pada bahagian bawah abdomen.

Jangkitan yis
Vaginitis yang berpunca daripada yis sukar didiagnosis kerana biasanya ia tidak memperlihatkan banyak tanda dan gejala. Ini menyebabkan vagina rasa gatal, pedih dan sakit. Jangkitan yis menyebabkan sakit ketika kencing dan hubungan intim selain lelehannya berwarna putih bercampur kelabu seperti keju (berair dan pekat).

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

Tuesday, March 25, 2008

TANGANI TEKANAN MENTAL SECARA POSITIF

BERITA HARIAN : Diagnosis
Bersama Dr Noordin Darus

BERBEZA dengan artikel lalu mengenai pemakanan sihat untuk menguruskan badan, kali ini, saya ingin menyentuh masalah tekanan yang kita hadapi dan kepentingan bersenam dalam kehidupan seharian kita.

Menguruskan tekanan mental yang anda hadapi

Tekanan mental dalam hidup seharian kita wujud dalam pelbagai bentuk dan saiz. Setiap orang menangani tekanan mental mengikut cara tersendiri. Ada yang menganggapnya sebagai dorongan untuk mengusahakan sesuatu tugasan. Bagi orang lain, tekanan mental boleh melumpuhkan semangat. Ada yang cuba menanganinya dengan makan mengikut nafsu manakala yang lain tunduk kepada godaan alkohol dan dadah. Sepatutnya, anda tidak boleh ditewaskan tekanan mental. Caranya ialah dengan mempelajari bagaimana menguruskan tekanan mental dengan berkesan.

Saya pernah ternampak plak di atas meja seorang pengarah syarikat berbunyi “Adakah anda datang membawa penyelesaian kepada masalah atau adakah anda sebahagian daripada masalah?” Kebanyakan majikan menggunakan kenyataan seperti itu untuk mengingatkan pekerja, khususnya di peringkat eksekutif, mengenai sumbangan atau ketiadaannya kepada organisasi itu. Ini kerana, majikan membayar gaji atas jangkaan kewajipan yang sudah dijanjikan itu akan dilaksanakan pekerja.

Suasana perniagaan hari ini pantas pergerakannya dan mencabar dengan tahap persaingan yang tinggi. Mereka yang cekap, memiliki dorongan dan tenaga secukupnya, mempunyai arah tuju yang jelas dan sasaran persendirian dan kerjaya yang jelas akan berjaya. Mereka yang kurang cekap atau kurang dorongan akan ketinggalan.

Ada eksekutif menetapkan sasaran amat tinggi dan tidak pernah goyah dalam usaha mencapainya, namun kejayaan tetap tidak dapat dikecapi. Kegagalan mereka itu disebabkan penetapan sasaran terlalu tinggi dengan mengambil kira masa dan bakat, masalah peribadi yang amat membebankan, pengurusan masa tidak cekap atau kerap tidak hadir bekerja disebabkan penyakit kronik.

Atau mungkin juga mereka sudah kehilangan hala tuju, dengan menganggapnya pula sebagai tekanan yang menelan tenaga. Mereka ini akhirnya akan begitu tertekan sehingga tidak lagi menjadi aset kepada organisasi malah beban. Sudah tentu majikan tidak inginkan eksekutifnya berasa tertekan kerana mereka sedar, tekanan mental itu boleh menyebabkan penyakit seperti hipertensi, penyakit jantung, migrain, sembelit, ulser gastrik, kelesuan, insomnia, permasalahan usus dan kemandulan, yang semuanya akan bermakna kurang masa dapat ditumpukan kepada kerja.

Tekanan mental adalah gerak balas kepada keadaan yang dirasai

Badan manusia mempunyai suatu set keadaan biokimia yang cuba menyesuaikannya dengan rangsangan dirasai sebagai tekanan, ketegangan dan tekanan mental. Ini menghasilkan perubahan psikologi dan fisiologi. Kelenjar pituitari, yang terletak di bawah otak, menghasilkan hormon yang kemudiannya merangsang pengeluaran hormon tambahan daripada kelenjar adrenal, yang terletak di sebelah buah pinggang, termasuklah hormon adrenalin dan kortisol.

Andainya badan manusia dikenakan tekanan, ketegangan dan tekanan mental sedemikian berulang kali, jumlah adrenalin dan kortisol yang dihasilkan akan melebihi had selamat kepada badan manusia.

Kelebihan adrenalin akan menambahkan risiko darah beku dan pengerasan arteri. Ini boleh menyebabkan pelbagai penyakit vaskular termasuk serangan jantung dan strok.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

LELAKI LEBIH MUDAH KENA BARAH GINJAL

BERITA HARIAN : Diagnosis
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my


Lebih 90 peratus pesakit berusia 45 tahun ke atas

SECARA umum lelaki lebih kerap berhadapan dengan penyakit barah ginjal berbanding wanita. Mengikut anggaran umum, jumlah lelaki yang berhadapan dengan penyakit ini adalah dua kali ganda daripada wanita.

Malah, risiko barah ginjal semakin tinggi seiring dengan peningkatan usia. Lebih 90 peratus daripada kes membabitkan mereka yang didiagnos dengan barah ginjal adalah pesakit yang berusia 45 tahun ke atas.

Pakar Onkologi Klinikal dan Presiden Persatuan Onkologi Malaysia, Dr Gucharan Singh Khera, berkata umumnya pada waktu didiagnos, barah berkenaan sudah mengalami metastatis (merebak ke bahagian tubuh yang lain) di kalangan satu pertiga pesakit.

Dr Gucharan berkata, sehingga kini 208,000 orang di seluruh dunia didapati menghidap barah buah pinggang setiap tahun manakala 102,000 individu meninggal dunia akibat penyakit itu setahun. Pada tahun lalu, 51,000 kes barah ginjal didiagnos di Amerika Syarikat dengan membabitkan 13,000 kematian.

Katanya, walaupun wujud kemajuan dalam usaha memahami mekanisme pertumbuhan pelbagai jenis barah, barah ginjal masih menjadi penyakit yang belum difahami sepenuhnya.

“Apabila barah ginjal berada pada tahap lanjut, ia sangat sukar dikawal. Pada umumnya barah ginjal adalah penyakit yang tidak bertindak balas dengan kemoterapi atau terapi hormon,” katanya.

Menurut laporan kedua Daftar Kanser Kebangsaan mengenai kes barah di Malaysia pada 2003, ada 305 kes barah ginjal disahkan secara diagnosis di Semenanjung.

Faktor risiko

• Pesakit yang menjalani dialisis ginjal dan mereka yang mempunyai sejarah barah ginjal dalam keluarga berhadapan dengan risiko yang tinggi untuk diserang penyakit ini.
• Merokok adalah faktor risiko utama barah ginjal. Perokok memiliki kebarangkalian dua kali ganda lebih tinggi berhadapan barah ginjal berbanding mereka yang tidak merokok.
• Obesiti dan penggunaan ubat penahan atau pelega kesakitan dalam jangka panjang juga boleh mengundang masalah ini.

Simptom

• Darah dalam air kencing
• Sakit belakang
• Sakit pada sisi badan yang tidak hilang
• Sakit atau pembesaran pada abdomen
• Kehilangan berat badan yang tidak diketahui puncanya
• Hilang selera makan
• Badan letih dan lesu

Rawatan

Rawatan barah ginjal bergantung pada tahap seriusnya penyakit itu dan keadaan kesihatan pesakit secara menyeluruh.

Terapi utama bagi barah ginjal adalah pembedahan. Bagaimanapun, ia hanya berkesan jika semua barah dapat dibuang. Rawatan radiasi juga boleh dibuat apabila barah sudah merebak ke luar ginjal.

Selain itu, pesakit boleh menggunakan rawatan kemoterapi tetapi rawatan ini hanya boleh dilakukan pada sesetengah pesakit saja.

Ada kaedah terapi baru yang digunakan kepada pesakit barah ginjal yang bertindak ke atas bahagian khusus sel barah. Rawatan ini menunjukkan keberkesanannya dalam rawatan pesakit barah ginjal lanjutan. Ini termasuk ubat menghalang pertumbuhan sel darah baru dan ubat yang mensasarkan faktor pertumbuhan sel penting yang lain.

Bayer Schering Pharma baru-baru ini, memperkenalkan sejenis pil oral yang diambil dua kali sehari. Pil ini dikenali sebagai Nexavar yang bertindak merencatkan pembentukan salur darah baru yang membekalkan darah dan nutrisi kepada tumor.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

ROKOK PUNCA MATI MUDA

BERITA HARIAN : Diagnosis
Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

Kajian meramalkan lebih 36 bilion penduduk dunia mati muda akibat penyakit kronik menjelang 2015

PENYAKIT yang ‘menyerang’ manusia ialah penyakit berjangkit atau wabak seperti tibi, malaria atau HIV manakala penyakit berpunca daripada manusia sendiri seperti diabetes, penyakit jantung, kanser dan strok.

Akan tetapi, daripada semua jenis penyakit yang berpunca atau dihasilkan manusia, ada beberapa penyakit serius yang diklasifikasikan sebagai ‘kronik’ berikutan ia mencetuskan hampir dua kali ganda jumlah kematian di seluruh dunia berbanding punca kematian lain.

Kumpulan penyakit yang dikenali sebagai ‘penyakit kronik tidak berjangkit’ (CNCD) itu seterusnya mencetuskan kebimbangan di kalangan saintis serta pakar perubatan sehingga menyebabkan pelbagai usaha dan penyelidikan dilakukan bagi mengatasi penularannya.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), antara penyakit yang termasuk dalam kategori CNCD adalah penyakit berkaitan kardiovaskular, diabetes jenis kedua, penyakit kronik berkaitan respiratori selain beberapa jenis kanser.

Pengarah Institut Antarabangsa Berkaitan Kesihatan Global, Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNU-IIGH), Tan Sri Mohamed Salleh Mohamed Yasin, berkata CNCD amat dibimbangi kerana menjadi punca kira-kira 60 peratus kematian di seluruh dunia.

“Lebih membimbangkan adalah penyakit kronik CNCD turut mencatatkan 44 peratus kematian terhadap pesakit yang masih muda; jumlah kematian keseluruhan pula dua kali ganda membabitkan penyakit berjangkit termasuk HIV/AIDS, tibi dan malaria,” katanya.

Beliau berkata, dari sudut ekonomi pula, CNCD turut memberi impak negatif yang dahsyat terhadap produktiviti sesebuah negara. Dianggarkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, China, India dan United Kingdom, masing-masing akan kerugian AS$558 bilion, AS$237 bilion dan AS$33 bilion akibat kematian rakyatnya yang disebabkan penyakit kronik berkenaan.

“Tanpa ada usaha untuk menghentikan penularan CNCD, dianggarkan 388 bilion penduduk seluruh dunia akan mati akibat penyakit ini dalam tempoh 10 tahun, malah sejumlah 36 bilion penduduk mati pada usia muda menjelang 2015,” katanya yang dilantik menjadi pengarah pertama bagi UNU-IIGH sejak institut itu ditubuhkan pada 1 Mac lalu.

Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kes CNCD adalah purata jangka hayat penduduk yang lebih panjang, penggunaan tembakau atau merokok, kurangnya aktiviti jasmani dan pemilihan makanan tidak sihat.
“Sebenarnya kebanyakan punca penularan penyakit CNCD ini boleh dicegah kerana ia membabitkan gaya hidup seseorang. Sebanyak 80 peratus kematian pada usia muda akibat penyakit jantung, strok atau diabetes boleh dielakkan dengan mengamalkan cara hidup sihat selain pengetahuan mengenai aspek farmaseutikal,” katanya.

Beliau berkata, ada penyakit kronik CNCD yang berpunca daripada merokok, justeru dengan menghentikan tabiat merokok, ia secara tidak langsung mampu mengatasi penularan penyakit berkenaan.

“Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Kementerian Kesihatan yang diketuai Profesor Dr Syed Mohamed Aljunid mendapati seramai 93,306 penduduk di negara ini meninggal dunia akibat penyakit yang berpunca daripada merokok dari 2004 hingga 2007.

“Malah setiap tahun, lebih 33,000 kes baru dicatatkan bagi penyakit jantung, kanser paru-paru (hampir 3,000) dan penyakit semput kronik (kira-kira 12,800) yang berpunca daripada merokok,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga membelanjakan sekitar RM3.4 bilion setahun bagi merawat ketiga-tiga penyakit terbabit dan jumlah sebanyak itu pasti dapat disalurkan untuk manfaat lain yang lebih baik jika tabiat merokok dapat dihenti atau dikurangkan.

“Akan tetapi untuk menghentikan tabiat merokok adalah satu cabaran besar di negara kita. Kajian mendapati 49 peratus daripada lelaki dewasa (berusia 18 tahun ke atas) merokok malah wanita pula sebanyak lima peratus.

“Kajian mendapati jumlah perokok wanita meningkat berbanding 20 tahun lalu. Dulu hanya 0.5 peratus tetapi kini sudah lima peratus. Puncanya mungkin disebabkan lebih ramai wanita muda sekarang yang berkerjaya, profesional dan pengaruh iklan syarikat rokok,” katanya.

Kesan buruk rokok sebagai satu daripada pencetus CNCD menyebabkan ada beberapa negara yang mengambil langkah ketat terhadap barang berkenaan bagi mengurangkan jumlah perokok di negara mereka.

“Kanada misalnya cuba mengurangkan jumlah perokok di negara mereka dengan menaikkan harga rokok dengan kadar yang tinggi, melarang menjual rokok secara batang selain memperbanyakkan kawasan larangan merokok,” katanya.

Beliau berkata, aspek pencegahan penyakit CNCD dapat dijayakan menerusi integrasi pelbagai pihak membabitkan bidang sains, teknologi, polisi dan sosial; daripada pemerintah sehingga ke rakyat bawahan.

Sehubungan itu, Mohamed Salleh berkata, pihaknya di UNU-IIGH akan melakukan pelbagai penyelidikan dalam bidang kesihatan global antaranya kualiti dalam sistem penjagaan kesihatan; kajian penyakit dan kaedah kawalan, pembangunan teknologi maklumat dalam kesihatan seterusnya kesan perubahan iklim dan impak globalisasi terhadap kesihatan.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

Saturday, March 22, 2008

ORANG SIHAT TAK SEMESTI CERGAS

Oleh Ziauddin Sharuddin

Senaman perlu ada matlamat, dilakukan secara berstruktur

RAMAI yang menganggap sihat dan cergas adalah perkara yang sama. Adakah apabila seseorang sihat bermakna dia cergas?

Tanggapan salah ini masih wujud di kalangan sebahagian besar orang menyebabkan penyertaan rakyat Malaysia untuk melakukan aktiviti yang menyihatkan tubuh badan masih rendah. Tidak perlu melakukan kajian terperinci, pergi saja ke taman awam, boleh dikira mereka yang berjoging atau berjalan pantas.

Mungkin ramai yang menyangka mengapa perlu bersenam sedangkan mereka tidak mempunyai penyakit.

Pemahaman ini ternyata tidak begitu tepat kerana tidak semesti orang yang sihat adalah cergas. Bagaimanapun, orang yang cergas selalunya adalah sihat.

Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan, Dr Mohd Ismail Abdul Samad, berkata orang yang sihat perlu melakukan senaman untuk mengekalkan kesihatan.

Bagaimanapun, beliau mengakui walaupun senaman diperkenalkan sebagai kaedah untuk sihat, tetapi kajian menunjukkan perkataan senaman menjadi alergi.

“Orang takut dan susah untuk bersenam, malah kajian di seluruh dunia menunjukkan program senaman selalu menemui kegagalan.

“Kempen cergas dan sihat yang hanya memfokuskan kepada senaman akan menemui kegagalan kerana orang hanya aktif pada peringkat awal dan lama-kelamaan terus hambar kerana aktiviti ini memerlukan semangat dan mempunyai matlamat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya orang yang bersenam perlu menetapkan sasaran seperti jika pada peringkat awal berlari sejauh dua kilometer dalam 10 minit, maka sasarannya adalah berlari jarak sama dalam masa lima minit.

Katanya, sesetengah orang bersenam untuk menurunkan berat badan tetapi tidak meletakkan sasaran berat yang hendak dicapai.

Beliau juga mengingatkan bahawa bahawa senaman tidak mencukupi jika mengabaikan pemakanan kerana senaman menyebabkan selera makan meningkat dan jika gagal mengamalkan pemakanan sihat, mereka juga terdedah mendapat penyakit.

Senaman atau aktiviti fizikal

Dr Mohd Ismail mengajak orang ramai mengetahui perbezaan antara aktiviti fizikal yang tidak semesti menyihatkan dan senaman.

Katanya, aktiviti fizikal ialah semua bentuk pergerakan anggota tubuh badan yang mempunyai otot dan tulang kerangka seperti kaki dan tangan. Ini termasuk kerja rumah seperti memasak, menyapu dan mendukung anak atau bermain golf dan bola sepak.

“Walaupun senaman adalah sebahagian aktiviti fizikal, tetapi dilakukan secara berkala, berstruktur dan mempunyai matlamat.

“Menunggang basikal adalah aktiviti fizikal atau riadah apabila dilakukan untuk bersiar-siar, tetapi jika dilakukan dalam tempoh tertentu seperti 30 minit tanpa henti, aktiviti ini menjadi senaman. Begitu juga menunggang basikal statik selama 30 minit dalam bilik secara tetap akan menjadi senaman khusus,” katanya.

Beliau berkata, pakar perubatan berpandangan bahawa senaman tidak perlu lasak seperti mendaki bukit, mengangkat berat atau bermain bola, tetapi secara sederhana dengan setiap aktiviti hanya kira-kira 30 minit tiga kali seminggu.

Perlukah bersenam jika bekerja lasak

ORANG yang bekerja lasak tidak memerlukan senaman kerana sudah mencapai tahap kecergasan optimum.

Dr Mohd Ismail berkata, sesetengah pekerjaan seperti pesawah atau penoreh getah membolehkan seseorang itu memiliki jantung yang baik, tetapi masih perlu melakukan senaman tertentu untuk melentur sendi.

Bagaimanapun, katanya ada keadaan pekerjaan yang tidak membolehkan pembakaran banyak tenaga dan lemak seperti pekerja pejabat.

“Tubuh manusia menggunakan karbohidrat sebagai tenaga yang mudah diperolehi dan kemudian lemak. Jika kita berjalan selepas makan, tenaga yang digunakan ialah karbohidrat dan selepas habis digunakan, baru lemak dibakar.

“Malangnya jika makan banyak nasi dan kemudian berjalan, lemak tidak diusik kerana yang dibakar hanya karbohidrat. Lebih buruk apabila karbohidrat daripada nasi pun tidak digunakan dan pada masa sama, lemak bertambah,” katanya.

Katanya, seseorang menjadi gemuk apabila apa yang dimakan tidak digunakan sepenuh dan disimpan hingga lama kelamaan sukar untuk bersenam.

Selain itu wujud kekeliruan di kalangan sesetengah orang senaman tidak perlu kerana kerja yang dilakukan suri rumah seperti memasak dan melipat kain menggunakan tenaga.

“Memang benar kerja rumah dan sesetengah kerja pejabat menggunakan tenaga, tetapi hanya otot kecil digunakan yang tidak boleh membakar tenaga dan lemak. Senaman diperlukan untuk menggerakkan otot besar,” katanya

FAKTA

Kebaikan senaman
• Bersenam meningkatkan produktiviti. Sesetengah negara maju seperti Jepun dan Sweden memberi insentif kepada pekerja yang bersenam kerana memberi kesan positif kepada kecergasan dan produktiviti.Pekerja yang tidak bersenam lebih berisiko mendapat penyakit dan produktiviti merosot kerana memerlukan rehat apabila sakit. Pekerja yang bersenam dan sihat walaupun sakit mengambil cuti sakit lebih singkat.
• Senaman menambah keceriaan, kecantikan dan ketampanan.
• Pekerja yang bersenam lebih tahan lasak dan dapat bekerja bagi tempoh lebih lama seperti hingga jam 10 malam. Pekerja yang tidak cergas mudah berasa penat dan mungkin hanya bertahan setakat jam 4 atau 5 petang.
• Senaman menyebabkan orang tidur nyenyak dan badan yang berehat ketika tidur menyebabkan sistem tubuh badan cantik.
• Tekanan perasaan dikurangkan dengan bersenam. Tekanan perasaan yang bermula dari otak mengalir dalam tubuh badan dan kadang-kadang memberi tekanan menyebabkan otot tegang. Senaman menyebabkan otot menjadi kendur dan darah mengalir.
• Senaman mengurangkan atau melambat mendapat penyakit. Dalam kes pesakit diabetes, senaman menyebabkan sensitiviti insulin meningkat dan gula dari darah yang hendak dimasukkan dalam sel meningkat. Banyak kajian menunjukkan bahawa pesakit diabetes yang bersenam boleh mengawal paras gula darah.

Dalam satu kajian, orang yang hampir mendapat diabetes disuruh melakukan senaman selama 30 minit satu sesi, sekurang-kurang lima kali seminggu dan didapati dapat mencegah mendapat penyakit itu sebanyak 58 peratus.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

OTOT CERGAS BADAN SIHAT

Oleh Ziauddin Sharuddin

Bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bolehkan jantung, paru-paru cekap dan lebih kuat

KECERGASAN dan kesihatan adalah dua perkara berbeza, tetapi mempunyai kaitan yang amat rapat. Tidak semestinya orang yang sihat adalah cergas, tetapi kebiasaannya orang yang cergas adalah sihat.

Orang yang cergas menunjukkan organ dalamannya, terutama jantung, paru-paru dan otot bekerja dengan cekap dan ini ditunjukkan dengan penampilan fizikal yang kuat, tahan lasak dan boleh bekerja bagi suatu tempoh yang lama.

Ini yang menyebabkan sesetengah orang walaupun berumur 40-an masih sihat kerana jantung, paru-paru dan ototnya bekerja lebih cekap, berbanding orang berumur 20-an, tetapi cepat letih dan tidak bermaya apabila prestasi organ berkenaan adalah sebaliknya.

Jangan berfikir yang bukan-bukan untuk mendapat kecergasan. Anda tidak perlu mendaki gunung atau menyertai pertandingan maraton setiap minggu.

Amalkan kesederhanaan dalam setiap perbuatan, termasuk bersenam. Petua yang kebanyakan orang tahu ialah bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Cukup mudah dan hanya perlu melaksanakan petua itu.

Bagaimanapun, sebelum bersenam, mungkin ada baiknya anda memahami komponen kecergasan, iaitu kekuatan, keanjalan dan ketahanan.

Setiap jenis sukan atau aktiviti fizikal menggunakan setiap elemen komponen ini pada kadar berbeza. Ahli gimnastik yang melakukan gerakan dalam tempoh beberapa minit memerlukan keanjalan lebih tinggi, berbanding ketahanan.

Ini berbeza dengan pelari maraton yang memerlukan daya ketahanan untuk berlari bagi suatu tempoh yang lama.

Komponen Kecergasan

Kekuatan

Sekurang-kurang satu perempat, malah separuh berat badan adalah tisu otot yang memberikan kekuatan kepada tubuh. Kekuatan adalah kebolehan untuk otot melakukan tindakan seperti menolak, menarik, mengangkat atau membawa bebanan. Tubuh manusia mempunyai kira-kira 400 otot yang dicantumkan kepada tulang oleh tendon.

Keanjalan

Elemen ini adalah keupayaan untuk membongkok, regangan atau memulas. Keanjalan yang baik bergantung kepada sendi, otot dan tendon untuk bergerak dengan mudah. Keanjalan amat penting dalam semua jenis sukan dan aktiviti fizikal, terutama yang memerlukan ketangkasan seperti gimnastik dan karate.

Secara umum, remaja perempuan adalah kumpulan yang paling anjal. Keanjalan mengurangkan risiko mengalami terseliuh atau ketegangan kerana kelembutan dan tisu yang elastik dapat menyerap pergerakan yang mengejut dan pantas.

Ketahanan

Ketahanan adalah kebolehan untuk bersenam secara konsisten tanpa rehat untuk suatu tempoh yang lama. Ini bergantung kepada kecekapan dan prestasi jantung, paru-paru dan otot. Kekurangan daya tahan boleh menyebabkan otot dan kordinasi lemah.

Untuk mempertingkatkan ketahanan secara keseluruhan, anda perlu bersenam secara intensif bagi tempoh sekurang-kurangnya 20 minit, tiga kali seminggu.

Perlu diakui bahawa tiada senaman yang sempurna, tetapi sebarang kegiatan yang menggunakan tenaga akan memperbaiki tahap kecergasan. Inilah cabaran bagi kebanyakan orang kerana mereka mahukan kecergasan, tetapi tidak mahu bersenam atau bersukan.

Sebagai penyelesaian, pilihlah aktiviti yang menyeronokkan kerana adalah sukar untuk meneruskan kegiatan yang membosankan walaupun baik untuk kecergasan.

Aktiviti Untuk Mencapai Kecergasan

Berjalan Kaki

Mereka yang tidak pernah berjalan kaki, mungkin akan menghadapi masalah tercungap-cungap atau keletihan apabila berjalan kaki walaupun untuk jarak dekat. Jangan memaksa diri. Amalkan strategi berjalan kaki secara berperingkat hingga akhirnya, mampu untuk jarak lebih jauh atau tempoh masa lebih lama.

Seelok-eloknya, berjalan kaki dilakukan sekurang-kurangnya 30 minit setiap sesi sebanyak tiga kali seminggu.

Joging

Sebelum memulakan aktiviti ini, pastikan anda boleh berjalan kaki pantas sejauh dua atau tiga kilometer tanpa menghadapi masalah. Sebagai permulaan, anda boleh berjoging dan berjalan kaki bersilih ganti pada jarak 100 meter. Jika tiada masalah, tambah tempoh masa hingga mampu berjoging sepenuhnya.

Berenang

Berenang adalah kegiatan yang amat baik untuk mempertingkatkan kecergasan. Aktiviti ini secara teratur mengurangkan kekerapan tempoh seseorang mengambil nafas sebelum nafas berikut. Anda mesti menetapkan sasaran untuk berenang pada kadar sekata selama 20 minit. Bagaimanapun, jangan berenang setiap hari dan sebaliknya secara berselang hari untuk merehatkan otot.

Berbasikal

Berbasikal adalah antara aktiviti yang menyeronokkan, malah anda boleh menggunakan basikal untuk kegiatan harian seperti ke kedai atau ke pejabat. Bagaimanapun, pastikan jalan yang dilalui tidak terlalu sibuk untuk mengurangkan risiko terbabit dalam kemalangan. Gunakan topi keledar dan jaket pemantul cahaya sebagai langkah keselamatan.

Lompat Skip

Aktiviti ini juga menyeronokkan apabila anda menguasai tekniknya. Anda boleh melakukan lompat skip ketika aktiviti berjoging. Apabila bosan berjoging, berhenti sebentar dan ambil tali skip untuk melompat setinggi 10 sentimeter.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

ATASI MASALAH SELSEMA DENGAN PROBIOTIK MULTIVITAMIN & MINERAL

BERITA HARIAN : Citra

SEHINGGA kini, tumpuan utama aplikasi probiotik ialah penggunaannya dalam meningkatkan kesihatan perut. Begitupun, semakin banyak bukti sudah diperoleh daripada pelbagai kajian yang menjelaskan manfaat probiotik ke atas sistem imun badan.

Penyelidikan baru mendapati bahawa pengambilan makanan tambahan probiotik multivitamin boleh membantu memendekkan tempoh selsema sehingga dua hari dan mengurangkan tanda selsema seperti batuk, bersin dan demam.

Satu kajian ‘double-blind placebo controlled’ secara rambang dijalankan di Jerman membabitkan 477 orang dewasa bagi mengetahui keberkesanannya. Semua respondens yang tidak disuntik vaksin influenza, diperiksa sama ada penggunaan makanan tambahan yang mengandungi probiotik bakteria dan vitamin serta mineral untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan akan mempengaruhi tempoh, kekerapan dan tahap serius tanda jangkitan selsema. Penyelidik juga ingin mengetahui sama ada makanan tambahan itu mempengaruhi keimunan selular.
Seramai 477 peserta kajian menerima sama ada makanan tambahan probiotik multivitamin dan mineral atau plasebo secara rambang. Respons imun selular sudah ditentukan bagi sejumlah peserta sebelum dan selepas penggunaan makanan tambahan.

Berlakunya jangkitan trek pernafasan yang dianggap cetusan viral adalah 13.6 peratus lebih rendah dalam kumpulan yang diberikan makanan tambahan berbanding kumpulan plasebo. Ketika serangan jangkitan trek pernafasan, peserta kajian mengalami tanda seperti selsema dan influenza setiap hari.

Terdapat pengurangan ketara dari segi tanda yang membabitkan kumpulan yang mengambil makanan tambahan probiotik-vitamin-mineral. Tambahan pula, tanda influenza menurun sebanyak 19 peratus bagi kumpulan yang dirawat dengan makanan tambahan. Di samping itu, bilangan hari bagi kumpulan dirawat dengan makanan tambahan yang mengalami demam adalah 54 peratus kurang berbanding kumpulan plasebo.
Tahap sel penting kepada keimunan seperti leukocytes, monocytes, dan lymphocytes, terutama T-lymphocytes termasuk sel CD4+ dan CD8+, dianggap lebih tinggi dalam kumpulan makanan tambahan ketika tempoh dua minggu pertama penggunaan makanan tambahan berbanding kumpulan plasebo.

Penyelidik merumuskan bahawa data yang dikumpulkan menjelaskan bahawa pengambilan makanan tambahan yang mengandungi bakteria probiotik termasuk vitamin dan mineral untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan boleh mengurangkan sejauh mana berlakunya tanda jangkitan selsema di kalangan orang dewasa yang sihat.Keadaan itu adalah disebabkan oleh keimunan selular merangsang.

Dapatan daripada penyelidikan akan memainkan peranan yang penting dalam membina keyakinan dan membuktikan bahawa bakteria probiotik memberi manfaat kepada sistem imun. Keadaan akan menjadi bertambah baik bagi probiotik kerana kemajuan sains kini semakin canggih dengan penyelidikan yang meluas dan penggunaan probiotik untuk pelbagai tujuan.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

GLAUKOMA BOLEH DIKAWAL ELAK BUTA

BERITA HARIAN : Citra
Oleh Halina Mohd Noor

PENTING : Pemeriksaan mata dapat mengesan glaukoma lebih awal

Golongan berusia 40 tahun ke atas digalak jalani saringan pemeriksaan mata


SEKIRANYA anda sering terlanggar perabot rumah atau tidak nampak papan tanda di tepi jalan ketika memandu, berkemungkinan anda sedang mengalami kehilangan penglihatan yang jika tidak dirawat boleh menyebabkan kebutaan kekal. Dikenali sebagai glaukoma, menurut Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), ia adalah ancaman kebutaan kedua selepas diabetik yang kurang disedari ramai.

Di kalangan doktor, glaukoma dikenali sebagai 'pencuri senyap penglihatan' kerana penyakit mata ini sukar dikesan selain tidak menyebabkan rasa sakit. Pesakit lazimnya tidak sedar kehilangan penglihatan tepi mata kerana penglihatan tengah tidak terganggu. Apabila berada pada tahap kronik, pesakit lazimnya mempunyai penglihatan yang begitu sempit sehingga menyebabkan mereka hanya boleh membaca saja. Keadaan ini menjadikan pesakit seolah-olah melihat melalui teropong kecil.

Ketua Jabatan Oftalmologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof (K) Dr Ropilah Abdul Rahman, berkata hampir 50 peratus kes glaukoma tidak dapat dikesan di negara maju. Kadar itu lebih tinggi di negara membangun iaitu sebanyak 90 peratus akibat tidak mengamalkan pemeriksaan mata secara tetap, sekali gus menyebabkan pesakit hanya datang berjumpa doktor selepas berada pada tahap teruk.

"Glaukoma berlaku akibat kepelbagaian penyakit mata yang menyebabkan kerosakan saraf optik. Di dalam mata yang berbentuk seperti bola, ada saraf yang membawa maklumat ke saraf pusat dan dianalisa otak sebelum kita dapat melihat sesuatu objek. Di dalam bola mata ada tekanan (seperti tekanan darah) yang dikenali sebagai tekanan intrakular.

"Selain itu, ada juga badan ciliary yang mengeluarkan cairan mengandungi zat dan oksigen yang memberi makanan kepada struktur mata. Apabila pengeluaran cairan ini tidak seimbang, ia menyebabkan tekanan tinggi dalam bola mata yang merosakkan saraf mata. Tekanan ini juga menyebabkan pembuluh darah di dalam saraf optik tidak dapat mengalirkan darah pada mata untuk menyalurkan maklumat ke otak bagi memberitahu apa yang dilihat mata," katanya.

Dr Ropilah ditemui pada majlis sambutan Hari Glaukoma Sedunia 2008 yang diadakan buat julung kali di HUKM mahupun seluruh dunia. Majlis berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Glaukoma Sedunia dan Pertubuhan Pesakit Glaukoma Sedunia. Hari Glaukoma peringkat antarabangsa diraikan pada 6 Mac. Hadir merasmikan majlis berkenaan, Dekan dan Pengarah Pusat Kesihatan UKM, Prof Datuk Dr Lokman Saim.

Secara umumnya, mata dapat melihat dengan keluasan 100 darjah ke tepi mata. Pada tahap awal, penghidap akan mengalami kehilangan penglihatan lapang atau tepi mata ini sedikit demi sedikit tanpa disedari sehinggalah kehilangan penglihatan tengah pula. Kehilangan penglihatan tengah yang dianggap tahap lanjut atau kronik ini menyebabkan pesakit hanya boleh membaca saja iaitu seperti melihat melalui teropong kecil.

Saraf optik mengandungi satu juta asson atau serat. Doktor boleh mengenal pasti glaukoma apabila mendapati ada bahagian tengah cawan mata kosong akibat kehilangan serat ini. Bahagian mata putih juga menjadi merah dan kelihatan pucat.

"Glaukoma tidak boleh disembuhkan seperti juga kencing manis. Bagaimanapun, ia boleh dikawal daripada menjadi lebih teruk seperti buta. Sebaliknya ia boleh dicegah sekiranya dikesan awal. Ini boleh dilakukan dengan menjalani saringan pemeriksaan mata terutama mereka yang berusia 40 tahun ke atas. Semakin meningkat usia, semakin tinggi risiko menghidap glaukoma. Individu yang mempunyai sejarah ahli keluarga terdekat yang pernah menghidap glaukoma, mengalami rabun jauh atau myopia, penghidap kencing manis, migrain atau yang sering berdengkur ketika tidur perlu menjalani pemeriksaan lebih awal.

BAHAYA PENYAKIT: Peringkat kehilangan lapang mata yang akhirnya menyebabkan kebutaan.

"Berdengkur boleh dikaitkan dengan glaukoma kerana pada waktu tidur, lidah berada di belakang dan menyumbat saluran pernafasan. Ini menyebabkan oksigen diterima kurang yang mendedahkan individu berkenaan kepada risiko serangan jantung. Oksigen berkurangan pada saraf pusat dan mata turut mendedahkan mereka yang tidur berdengkur dengan glaukoma," katanya.

Glaukoma terbahagi kepada jenis kronik, akut, kongenital (sejak lahir) dan sekunder. Glaukoma primari (sudut mata terbuka) dan sekunder (sudut mata tertutup) iaitu yang paling kerap ditemui.

"Glaukoma adalah penyakit progresif yang menyebabkan punca utama kebutaan di Malaysia. Beban rawatan dan pembedahan akibat glaukoma dijangka terus meningkat pada 2020 dengan 11 juta pesakit di seluruh dunia. Justeru, sambutan Hari Glaukoma Sedunia diadakan untuk mempertingkatkan kesedaran mengenai bahayanya dan mengurangkan risiko kebutaan akibat glaukoma," katanya.

Sempena sambutan berkenaan, orang ramai diberi peluang menjalani pemeriksaan mata di klinik Oftalmologi, HUKM secara percuma pada 19 Februari dan 1 Mac lalu.

FAKTA: Jenis glaukoma

Glaukoma primari

Risiko (sama dengan glaukoma lain):
• Individu berusia lebih 40 tahun ke atas.
• Mempunyai sejarah keluarga menghidap glaukoma.
• Tekanan intrakular yang tinggi iaitu melebihi 21 mm merkuri berbanding biasa iaitu 16 mm merkuri. (Ada yang tekanannya normal, tetapi masih mengalami glaukoma akibat faktor lain).
• Pesakit jantung
• Individu yang tangannya sentiasa sejuk (penyakit reynolds)
• Pernah menjalani pembedahan besar seperti jantung.

Ciri klinikal (sama dengan glaukoma lain):
• Terjadi secara senyap dan tidak hanya berlaku pada sebelah mata saja.
• Bila berjalan, sering melanggar objek di sekitar mereka kerana lapang pandang yang sempit. Individu ini tidak boleh memandu kerana sangat bahaya.

Rawatan:
• Bermatlamat mencegah kebutaan dengan merawat saraf yang masih berfungsi.
• Ubat khusus digunakan bagi menurunkan tekanan.
• Pembedahan trabeculectamy atau laser perlu dilakukan (jika ubat tidak membantu). Bagaimanapun, ia lazimnya tidak memberikan kesan jangka panjang.

Glaukoma sekunder

Risiko umum:
• Mempunyai bola mata kecil.
• Rabun jauh dan dekat yang kronik.
• Mempunyai kanta mata yang tebal.
• Kamar anterior mata yang dangkal.

Ciri klinikal
• Sakit pada mata atau kepala yang tidak dapat diceritakan.
• Pesakit rasa mual dan muntah.
• Penglihatan kabur dan sakit kepala akibat tekanan.
• Apabila melihat cahaya, nampak pelbagai warna seakan pelangi. Keadaan ini dipanggil Haloes yang menyebabkan bahagian depan mata bengkak, merah dan kelihatan mengembang.

Rawatan:
• Menggunakan ubat secara sistematik dan topikal.
• Rawatan laser untuk menebuk lubang bagi memberi laluan kepada cairan mata atau aqueos.

Glaukoma Kongenital

Glaukoma juga berlaku di kalangan kanak-kanak sewaktu dilahirkan atau dikenali sebagai glaukoma kongenital. Bagaimanapun, ia jarang berlaku iaitu satu bagi setiap 5,000 sehingga 10,000 bagi kelahiran hidup. Ia boleh diwarisi dan lebih kerap berlaku di kalangan kanak-kanak lelaki dengan anggaran 60 hingga 70 peratus. 80 peratus membabitkan kedua belah mata dan 40 peratus menunjukkan gejala pada bulan pertama kelahiran.

Risiko umum:
• Mempunyai ibu bapa atau saudara terdekat mengalami glaukoma.
• Penyakit lain seperti rubela.
• Mata tidak berkembang apabila memasuki usia 7 tahun.

Ciri klinikal:
• Bola mata yang membesar akibat tekanan tinggi (Buphthalmus).
• Mata berair dan silau.

Glaukoma Sekunder

Risiko:
• Kencing manis
• Katarak yang terbiar atau tidak dirawat.
• Kecederaan mata
• Pengambilan steroid tanpa kawalan dalam bentuk ubat titis, oral atau ubat tradisional.
• Penggunaan kanta sesentuh yang kurang penjagaan kebersihan.

Ciri klinikal:
• Sama seperti glaukoma lain.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

Thursday, March 20, 2008

MENANGANI KETIDAKSEIMBANGAN GULA SECARA SEMULA JADI

BERITA HARIAN : Citra
Khamis (20/03/2008)

ADAKAH anda sering berkeinginan untuk makan makanan manis, ketagihan kopi atau teh sekitar waktu tengah hari, mungkin juga kerap terbangun waktu malam dengan perasaan resah dan inginkan makanan ringan?

Anda mungkin juga sering keletihan dan tidak bertenaga pada sesetengah hari yang mungkin juga diikuti dengan lemah daya tumpuan serta kerap pening kepala? Ini adalah antara gejala yang dialami akibat ketidakseimbangan gula dalam darah.

Ketidakseimbangan gula dalam darah ialah keadaan tubuh yang gagal mengawal glukosa secara berkesan. Hormon insulin mengawal paras gula darah agar berada dalam julat yang sepatutnya. Dalam ketidakseimbangan gula, kedua-dua insulin dan glukosa dalam darah tetap tinggi, manakala sesetengah sel tetap kekurangan glukosa.

Kekurangan penghasilan insulin menyebabkan ketidakseimbangan gula darah berlaku dan tanpa kawalan yang baik ia boleh menjurus kepada diabetes melitus.

Sekiranya anda mempunyai berat badan berlebihan dan mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes, anda seharusnya lebih berhati-hati kerana anda berisiko tinggi untuk mengalami masalah ketidakseimbangan gula. Begitu juga mereka yang kurang melakukan aktiviti fizikal dan mereka yang mengambil makanan berkarbohidrat tinggi secara berlebihan.

Bagi penghidap diabetes pula, mereka haruslah sentiasa mengawal paras gula dalam badan dan cuba kekalkan ke paras yang paling normal untuk memperlahankan komplikasinya. Antara komplikasi diabetes termasuklah aterosklerosis, iaitu penyumbatan saluran darah dan akan menjejaskan pengaliran darah.

Diabetik retinopati bermakna penglihatan yang semakin merosot akibat diabetes terutama dalam jangka panjang. Komplikasi lain termasuklah kerosakan buah pinggang, kejadian ulser kaki yang sukar disembuhkan dan sering menjurus kepada pemotongan kaki. Penghidap diabetes juga berisko tinggi untuk mendapat serangan jantung dan strok.

Bagi mereka yang ingin mencuba remedi herba, ada beberapa jenis herba tradisional yang boleh digunakan. Contohnya, gymnema iaitu herba tradisional yang terkenal di kalangan masyarakat India yang digunakan sejak sekian lama untuk merawat diabetes. Bahan aktif asid gimnemik boleh mengurangkan penyerapan gula daripada saluran penghadaman di samping menghalang penyimpanan glikogen. Fenugreek membantu meningkat tindak balas tisu terhadap insulin dan memperbaiki metabolisme karbohidrat.

Peria juga mempunyai bahan aktif yang boleh merendahkan paras gula. Berdasarkan kajian yang dibuat ke atas penghidap diabetes, mendapati ia memberi kesan yang memberangsangkan untuk mengawal paras gula dalam darah. Kombinasi holy basil dan herba berkenaan didapati memberi kesan yang lebih baik.

Kajian menunjukkan pengambilan sesetengah vitamin atau nutrien seperti asid alfa lipoik dapat mengurangkan kerintangan insulin serta meningkatkan kepekaan insulin. Pengambilan asid alfa lipoik juga membantu meningkatkan penggunaan glukosa (bagi mereka yang mengalami hiperglisemia).

INFO:

Bagi mengawal peningkatan paras gula, kita sangat digalakkan menggunakan pendekatan semula jadi seperti:

· Mengehadkan pengambilan karbohidrat ringkas seperti nasi, roti putih, makan pencuci mulut seperti kek, biskut dan minuman manis.
· Kurangkan pengambilan lemak tepu seperti banyak terkandung dalam daging merah, kulit ayam dan juga makanan bergoreng.
· Anda boleh mengambil makanan dengan lebih kerap, tetapi dengan jumlah yang lebih kecil.
· Jauhi rokok dan alkohol
· Senaman sangat digalakkan. Pilihlah aktiviti bersesuaian dan menyeronokkan. · Sekiranya anda menyesaki anda mempunyai diabetes atau berisiko, buatlah ujian darah secara berkala.

Sila Layari :
www.xmpsp.com

BERSENAM TINGKATKAN ALIRAN DARAH

RAMAI wanita tidak suka bersenam. Justeru walaupun bertubuh kurus, mereka tidak cergas, cepat letih dan kelihatan tidak bermaya.

Jangan benci bersenam kerana ia berkait dengan kesihatan dan berupaya membantu mengurangkan risiko serangan jantung, barah kolon, diabetes dan tekanan darah tinggi. Kecergasan juga membantu anda menikmati kehidupan lebih selesa.

Bagi yang baru hendak bersenam, soalan paling biasa ialah berapa banyak aktiviti fizikal diperlukan untuk cergas? Dalam kapasiti sederhana, disarankan melakukan senaman 30 minit satu sesi, lima hari seminggu atau lebih.

Ada tiga aktiviti fizikal yang boleh memperbaiki kecergasan diri. Pilih salah satu atau amalkan ketiga-tiganya jika anda mahu.

1) Aktiviti berkaitan kelenturan otot (flexibility)

Kebolehan menggerakkan sendi dan menggunakan otot pada tahap sepatutnya. Meregangkan otot dikira sebagai flexibility. Senaman jenis ini boleh meningkatkan pengaliran darah.

Apabila tubuh lebih lentur (flexible), anda akan lebih mudah bergerak seperti mengikat tali kasut, mencapai barang di tempat tinggi dan anda memiliki tahap keseimbangan yang lebih baik.

Termasuk dalam senaman begini adalah meregangkan otot. Cuba lakukan regangan 10 ke 12 minit sehari selepas aktiviti memanaskan badan yang ringkas. Anda juga boleh memikirkan menyertai kelas tarian, seni mempertahankan diri atau yoga. Jika melakukan regangan lakukan secara perlahan tetapi kerap.

2) Aerobik (cardiorespiratory)

Keupayaan tubuh menggunakan oksigen secara efektif tetapi bergantung pada keadaan jantung, paru-paru dan otot. Aktiviti kecergasan jenis ini meningkatkan jumlah oksigen yang dihantar ke otot yang mana membenarkan otot bekerja lebih lama. Berjalan adalah sebahagian dari latihan aerobik

Kelebihan senaman aerobik, mengurangkan risiko diebetes, beberapa jenis barah, serangan jantung, nafas pendek, tekanan darah tinggi, kegemukan, tahap kolestrol, tekanan perasaan.

Jika anda kerap melakukan aerobik, anda lebih selesa melakukan aktiviti fizikal tanpa tercungap-cungap. Anda juga tentu lebih selesa melakukan kerja rumah dan bermain dengan anak-anak. Kebanyakan aktiviti aerobik membantu menguatkan otot dan meningkatkan rasa kelenturan.

3) Aktiviti kecergasan otot

Bermakna anda boleh memperoleh otot yang lebih bertenaga. Ia membantu anda mengangkat barangan berat atau menguatkan otot supaya ia lebih lentur. Kekuatan otot membuatkan anda berupaya mendukung anak, mengangkat barangan yang dibeli dari kedai tanpa rasa letih. Memiliki otot yang kuat melindungi sendi.

Ada tiga langkah menguatkan otot; tekan, rehat dan tekan. Jika anda melakukan senaman secara berlawanan, anda menekan otot tetapi tidaklah sehingga mencederakannya pula. Apabila anda berehat, tubuh akan membina semula otot dan tisu penghubung antaranya (sendi, tendon dan ligamen). Secara tidak langsung ia mempersiapkannya untuk aktiviti senaman seterusnya. Tekan, rehat dan tekan dan lakukan secara berulang akan membantu menguatkan otot.

Senaman menguatkan otot termasuk tekan tubi, angkat berat, berenang, berbasikal dan ski adalah aktiviti yang boleh memperbaiki kekuatan otot. Jika melakukan aktiviti kekuatan otot, lakukan lima hingga 10 minit.

Bagaimana anda boleh lebih aktif secara fizikal?

Cuba lakukan aktiviti fizikal secara kerap dan jadikannya sebahagian rutin harian. Mulakan dengan perlahan tetapi jika anda berhadapan masalah kesihatan atau tidak pernah bersenam sebelum ini dapatkan nasihat pakar.

Aktiviti senaman membakar kalori dan membantu mengekalkan berat badan. Aktiviti mudah seperti menaiki tangga atau berjalan kaki boleh juga membantu meningkatkan kecergasan. Lakukan 30 minit sehari. Atau mungkin anda boleh menunggang basikal sekali seminggu.

Berjalan adalah aktiviti kebanyakan orang. Ia selamat dan boleh dilakukan bersama keluarga, rakan sekerja. Tidak semestinya mesti di kawasan rekreasi, tetapi apa salahnya berjalan dari kawasan tempat kereta masuk ke pejabat jika pada kebiasaannya anda lebih gemar menaiki lif.

Sila Layari :
www.xmpsp.com

Tuesday, March 18, 2008

ISOTONIK BANTU TAMBAH CECAIR BADAN

Minuman isotonik selalunya dikaitkan dengan sukan dan acara.

Bolehkah individu yang tidak begitu aktif minum minuman isotonik?

Ketika minuman isotonik mula dicipta, nama serta peranannya di dalam pasaran adalah untuk tujuan sukan dan ketahanan. Minuman isotonik memang memberikan faedah langsung kepada mereka yang terbabit di dalam aktiviti fizikal dengan cara menyediakan penghidratan semula dengan segera. Ia juga boleh dijadikan sebahagian daripada pengambilan cecair harian anda bersama-sama dengan lain-lain minuman dalam had yang dibenarkan.

Adakah minuman isotonik sesuai untuk mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif?

Adalah penting bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif untuk kekal dihidrasi pada setiap masa. Minuman isotonik mengandungi kombinasi air, gula dan elektrolit yang sesuai untuk penghidratan tubuh. Bagi pesakit diabetes yang bersenam secara intensif (bersungguh-sungguh), minuman isotonik boleh membantu mereka menambah lagi cecair yang hilang di samping mencegah hipoglisemia.

Disarankan, individu yang menghidap diabetes supaya berunding terlebih dulu dengan pakar dietetik mereka mengenai pelan pemakanan serta minuman mereka sebelum merangka sebarang jadual senaman.

Bagi pesakit tekanan darah tinggi pula, pengambilan natrium anda seharusnya tidak melebihi 2,400 mg atau kurang, sehari. Secawan minuman isotonik 240 ml mengandungi 115mg natrium klorida. Jadi, semua makanan dan minuman yang terdiri daripada natrium perlulah diambil kira jika anda menghidapi penyakit ini.

Membaca label produk sebelum anda menentukan sebarang pengambilan makanan atau minuman sentiasa menjadi satu langkah yang bijak.

Apakah bahan yang terkandung di dalam minuman isotonik?

Bahan-bahannya adalah natrium, kalium, kalsium, magnesium, klorida, fosfat dan air. Ini adalah elektrolit yang pada dasarnya alat pemancar elektrikal di dalam badan anda. Anda boleh bandingkannya dengan partikel bercas elektrik atau ion di dalam bateri lampu suluh. Peluh yang menyejat daripada kulit anda mengandungi pelbagai elektrolit dan cecair. Jika berlaku kemerosotan berterusan elektrolit ini, ia akan mendorong kepada penyahhidratan dan strok haba. Badan kita secara semula jadinya akan melaksanakan pengawalan dalaman elektrolit ini dalam usaha mengekalkan keseimbangan jika berlaku perubahan kecil. Adalah disaran untuk menggantikan semula elektrolit yang hilang dengan cara membekalkan tubuh dengan cecair dan elektrolit. Dengan cara itu, penghidratan semula berlaku dengan kadar segera.

Berapa banyakkah minuman isotonik yang boleh saya minum sebagai sebahagian daripada pelan cecair? Sebaik saja saya membuka penutupnya, berapa lamakah minuman isotonik boleh disimpan?

Minuman isotonik boleh diminum mengikut keperluan pengambilan cecair harian anda iaitu sebanyak dua liter sehari. Secawan minuman isotonik 250 ml bersesuaian dengan pelan cecair anda. Bagaimanapun, pelbagai jenis cecair seperti air, susu dan jus buah-buahan perlu juga dimasukkan dalam senarai pelan cecair anda. Sekiranya anda mengambil minuman isotonik dari dalam tin, adalah lebih baik bagi anda meminumnya sebaik saja dibuka. Jika tidak, karbon dioksida akan menyurai dari minuman berkenaan. sebaliknya, jika diambil dari botol, pastikan anda mengetatkan penutupnya dengan kemas dan menghabiskan minuman itu dalam tempoh dua hingga tiga hari.

Patutkah saya minum minuman isotonik yang sejuk atau pada suhu bilik saja? Berapakah jangka hayat simpanannya?

Berbeza dengan apa yang biasa kita dengar, minuman sejuk tidak diserap ke dalam badan dengan lebih cepat berbanding minuman hangat atau panas. Bagaimanapun, minuman sejuk lebih sedap rasanya berbanding yang panas terutama ketika bersenam atau dalam keadaan cuaca panas. Jadi, jika minuman sejuk atau dingin itu membuatkan anda mengambilnya dalam jumlah yang banyak, biar saja minuman anda sejuk. Kebanyakan minuman isotonik mempunyai hayat simpanan di antara sembilan ke 12 bulan dari tarikh pengeluarannya. Minuman isotonik bertin tidak telap oksigen dan cahaya. Sehubungan itu, ia mempunyai jangka hayat yang lebih lama berbanding yang disimpan di dalam botol. Ini kerana, botol yang jernih membenarkan pemindahan oksigen dan cahaya kepada produk sekali gus mempunyai hayat simpanan lebih pendek. Anda disarankan membaca labelnya berhati-hati.

Apakah komponen yang menghilangkan dahaga di dalam minuman isotonik?

Minuman isotonik mengandungi gabungan karbohidrat iaitu glukos dan sukrosa, elektrolit seperti natrium, kalium dan fosfat (mineral hilang melalui peluh), serta air. Semakin tinggi tahap karbohidrat di dalam minuman, semakin rendah kadar pengosongan perut. Minuman isotonik dengan tahap karbohidrat di antara enam dan lapan peratus dikosongkan daripada perut pada kadar yang sama dengan air. Elektrolit, terutama natrium dan kalium di dalam minuman akan mengurangkan pengeluaran air kencing, oleh itu membolehkan cecair mengosong daripada perut dengan pantas. Ia seterusnya menggalakkan penyerapan daripada usus serta pembendungan cecair. Itulah perbezaannya.

Mesejnya

Adalah penting bersederhana ketika makan dan minum - seimbang dan juga pelbagai. Pengambilan cecair sering dipinggirkan dari pelan pemakanan anda. Kekalkan diri anda dalam keadaan yang lembap (terhidrat). Dengan cara itu mampu mengoptimumkan prestasi kerja dan rutin harian anda.


Mary Easaw-John adalah pakar perunding diet yang mempunyai 23 tahun pengalaman dalam bidang pemakanan dan dietetik. Maklumat di atas bertujuan mendidik orang ramai, tanpa menyokong mana-mana produk. Sebarang pertanyaan mengenai isi kandungan dan penggunaannya hendaklah dirujuk kepada pakar diet berkelayakan.

PETUA UNGKU AZIZ JAGA KESIHATAN

PROFESOR Diraja Ungku Aziz sentiasa dihormati sebagai tokoh akademik terulung negara dan tidak hairanlah pelbagai pihak mendapatkan pandangannya mengenai isu seperti pembangunan ekonomi dan kecemerlangan universiti. Pada usia 84 tahun, beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Ungku, terus mengekalkan stamina fizikal dan minda, sesuatu yang jarang dimiliki orang sebaya umurnya.

Pemikiran Pak Ungku bukan hanya terhadap kepada isu ilmiah dan akademik, malah bekas Naib Canselor Universiti Malaya ini mempunyai gaya hidup sihat dan pandangan unik mengenai tabiat pemakanan orang Melayu.Ikuti beberapa pandangan Pak Ungku mengenai senaman dan pemakanan yang bukan sekadar untuk ditatapi, malah boleh diamalkan mengikut kemampuan masing-masing.

Senaman

Pak Ungku berpendapat bahawa senaman mesti mengeluarkan peluh. Bersenam atau beriadah adalah rutin hidupnya. Ketika usia muda, beliau menjadikan angkat berat sebagai senaman dan kemudian berjoging satu atau dua jam. Kini sesuai dengan peningkatan usia, aktiviti berjoging digantikan dengan berjalan laju selama sejam setiap pagi.

Pemakanan

Aspek ini cukup dijaga oleh Pak Ungku. Beliau menyifatkan corak pemakanannya amat ringkas, iaitu tidak banyak makan gula, karbohidrat dan makanan berlemak. Apakah menu makanan Pak Ungku?

Sarapan - Cuma empat biji kurma dan ketika musim jambu air, buah tempatan ini menjadi pilihannya. Beliau juga makan epal dan cider epal yang disifatkannya amat baik untuk mengelakkan arthritis.

Makan tengah hari - Pak Ungku hanya makan sekali sehari. Beliau memilih hidangan ikan atau ayam dan sayur-sayuran, salad serta buah-buahan. Beliau cukup suka buah-buahan dan hingga kini, nanas yang sesetengah orang anggap sebagai ‘tajam’ dimakannya, termasuk pada jam 11 malam tanpa sebarang pantang.

Malam - Bubur atau sup menjadi pilihannya. Pak Ungku sudah lama tidak makan daging merah dan kopi. Sebaliknya, beliau memilih teh Cina atau Jepun yang dibancuh sendiri serta minum banyak air iaitu sebanyak enam gelas. Kadang kala, beliau makan sate, tetapi tidak begitu suka makanan pedas dan berminyak.

Rutin Harian

Pagi - Bangun seawal jam 6 pagi hingga jam 7 pagi, membaca al-Quran, belajar tafsir termasuk menggunakan bantuan moden seperti CD. Beliau suka belajar bahasa Arab kerana mencabar dan berpendapat amalan membaca al-Quran amat baik sebagai pembuka minda.

Antara jam 7 hingga 8 pagi, Pak Ungku berjalan laju di sekitar Seksyen 17, Petaling Jaya dan beriadah menerusi programnya sendiri. Selepas warm up atau baginya ‘naik haba’, Pak Ungku membaca surat khabar selama setengah jam. Selepas mandi dan minum pagi, beliau ke pejabat yang terletak berdekatan rumahnya.

Tengah hari/petang - Makan tengah hari. Beliau akan tidur dan berehat pada waktu petang, iaitu sekurang-kurangnya lima minit dan jika tidak sibuk hingga 45 minit. Beliau lebih selesa tidur menghadap tingkap terbuka tanpa penghawa dingin.

Malam - Hanya makan ringan dan menonton berita serta program kesukaan. Pak Ungku tidur jam 12 malam dan hanya kadang kala jam 12.30 atau 1 pagi.

Tabiat Pemakanan Orang Melayu

Pak Ungku melahirkan kebimbangan terhadap amalan pemakanan orang Melayu yang negatif dari segi kesihatan seperti makan nasi lemak setiap hari dan pengambilan gula yang tinggi hingga menimbulkan pelbagai masalah kesihatan.

Beliau berkata: “Cukup menakutkan apabila saya membaca laporan bahawa 10 peratus orang Melayu menghidap kencing manis. Saya tidak faham mengapa perlu jadi begitu? Orang Melayu kalau berduit sikit dan mula masuk usia 40-an, mulalah buncit perut dan kalau yang perempuannya, selain perut, punggung menjadi lebar dek diselaput lemak. Sepatutnya ini semua tidak berlaku."

Pemakanan Seimbang

PENGAMBILAN makanan seimbang adalah antara isu yang menjadi perhatian Pak Ungku. Beliau berpendapat ramai kanak-kanak lebih gemar mengambil makanan ringan dan diproses yang sebenar tidak elok untuk kesihatan.

Sementara itu, katanya ketidakseimbangan juga wujud antara kanak-kanak bandar dan luar bandar. Kanak-kanak luar bandar kurang mengambil makanan yang cukup berkhasiat berbanding kanak-kanak di bandar yang terdedah kepada pelbagai iklan mengenai pengambilan makanan berkhasiat.

Katanya, kanak-kanak bandar tidak menghadapi masalah dari segi pengambilan zat dan vitamin serta menikmati pelbagai kemudahan kesihatan yang sempurna.

Beliau berpendapat, menu seperti telur dan ikan sebagai makanan harian amat penting untuk melahirkan pelajar cemerlang, khususnya pada peringkat sekolah rendah kerana makanan berkhasiat dan protein membolehkan kanak-kanak mempunyai otak yang cerdas dan cergas.