Tuesday, April 1, 2008

APUNGAN PROSES PENUAAN MATA

BERITA HARIAN : Diagnosis
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my

Objek seperti titik hitam atau garisan mengekori pergerakan anak mata

SELALUNYA pandangan mata Isacc normal dan dia juga tidak memerlukan kaca mata. Bagaimanapun, pada sesuatu ketika, pandangan matanya diganggu satu titik kecil berwarna hitam yang mengekori pergerakan anak mata. Ia tidak membuat pandangan mata kabur, cuma Isacc rasa terganggu.

Titik hitam dalam mata Isac dikenali sebagai apungan. Apungan selalunya satu titik kecil yang berada dalam penglihatan anda sekali sekala. Dalam dunia perubatan, apungan dikenali sebagai ‘muscae volitantes’. Apungan sebenarnya tidak terhad kepada satu titik hitam kecil. Kadangkala berbentuk garis panjang seperti benang atau bundar berjaring kerana ia mengekori pergerakan anak mata, ia seakan ‘lari’ apabila anda cuba melihatnya.

Pakar Perunding Ophtalmologis dan Pembedahan Mata, Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC), Dr Fang Seng Kheong, berkata apungan sebenarnya satu rumpun gel atau sel dalam cecair gel berwarna cerah dalam mata (vitreous). Ia lebih jelas jika anda memandang permukaan berwarna putih atau cerah.

“Memang objek ini seakan kelihatan di depan mata anda, tetapi sebenarnya ia terapung di dalam mata. Apa yang anda lihat adalah bayang-bayang apabila rumpun gel itu disuluh retina,” katanya.

Dr Fang berkata, apungan akan terjadi apabila lebih daripada satu gel dalam vitreous terlekat. Adakalanya, bintik atau habuk protein atau material lain yang terperangkap dalam vitreous juga boleh menyebabkan apungan.

Apungan kata Dr Fang adalah sebahagian daripada proses penuaan mata. Apabila usia meningkat gel vitreous mengecut dan terpisah dari retina. Apabila ia berlaku, pendarahan kecil akan terjadi. Ia biasanya punca apungan bagi mereka yang pernah menjalani pembedahan katarak atau rabun dekat.

Begitupun, retina yang terkoyak selalunya masalah yang serius kerana ia boleh menyebabkan keguguran retina (retina detachment).

Malah, adakala kewujudan apungan mungkin tanda masalah lain terutama jika terjadi secara tiba-tiba. Justeru jika anda berusia 45 tahun ke atas dan berhadapan masalah ini, rujuk doktor mata berdekatan.

Anda juga perlu berjumpa doktor jika satu lagi apungan terjadi atau anda melihat cahaya seakan kilat secara tiba-tiba. Begitu juga jika anda tiba-tiba kehilangan penglihatan sisi.

Dr Fang berkata, cahaya kilat secara tiba-tiba terjadi apabila gel vitreous digosok atau ditarik ke retina. Cahaya kilat ini bersifat ‘sekejap ada dan sekejap tiada’ untuk beberapa bulan atau minggu.

“Jika apungan membabitkan masalah serius seperti retina terkoyak ia memerlukan rawatan segera. Retina yang koyak dan tidak diberikan rawatan boleh menyebabkan anda mengalami keguguran retina dan ia memerlukan pembedahan,”

“Bagaimanapun jika apungan itu tidak mengganggu dan ia tidak mengancam kesihatan seperti didiagnos doktor, apungan itu mungkin hilang perlahan-lahan. Justeru tiada rawatan khusus diperlukan,” katanya.

Apungan yang tidak membahayakan tidak dirawat. Malah mereka yang mengalami apungan belajar untuk tidak mempedulikannya. Jika apungan muncul dalam penglihatan, anda hanya perlu mengerak-gerakkan mata. Ini akan menyebabkan cecair dalam mata beralih dan menyebabkan apungan berubah tempat. Pandang bawah dan ke atas membantu mengalihkan apungan ini.

Begitupun, sebelum membuat apa-apa konklusi, ada baiknya bertemu pakar mata bagi memastikan punca sebenar.

Faktor Apungan
• Apungan adalah sebahagian daripada proses penuaan mata. Apabila usia meningkat gel vitreous mengecut dan terpisah dari retina. Apabila ia berlaku pendarahan kecil akan terjadi. Ia biasanya punca apungan bagi mereka yang pernah menjalani pembedahan katarak atau rabun dekat.
• Kecederaan pada mata
• Radang di dalam mata.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
http://www.xmpsp.com/

MASALAH RAMBUT GUGUR TIDAK MENGENAL USIA

BERITA HARIAN : Citra
Oleh Hidayah Mohammad

Botak boleh dielakkan jika setiap individu amal gaya hidup seimbang, jaga pemakanan dan diet

PENUAAN sering dikaitkan dengan tumpuan kepada kulit wajah sehingga ada yang lupa bahawa rambut juga mengalami masalah penuaan. Malah ada yang menganggap masalah keguguran rambut serius seperti botak hanya dialami oleh mereka yang semakin meningkat usia.

Jangan disangka pada usia muda anda tidak akan menghadapi masalah botak. Tahap serius botak adalah pelbagai iaitu dari rambut jarang hinggalah kepada ketiadaan rambut langsung.

Ketua Trikologi Pusat Rambut Svenson, Teo Kim Teik berkata keguguran rambut yang berlaku antara 50 hingga 100 helai sehari adalah dikategorikan normal, tetapi jika berlebihan perlu diambil perhatian serius dengan mendapatkan rawatan segera.

"Pakar kesihatan juga sering kali menyarankan setiap individu mengamalkan gaya hidup seimbang terutama dari segi pemakanan. Ini adalah kerana ia boleh menyebabkan keguguran rambut yang mana hampir 90 peratus komponen penting rambut adalah protein.

"Kesihatan rambut banyak bergantung kepada pengambilan zat seperti kalsium dan zink. Bagaimanapun, mengambil terlalu banyak vitamin A dan D juga boleh menyebabkan rambut gugur," katanya pada majlis kejayaan membantu enam juru cakap produk Svenson di ibu kota, baru-baru ini. Turut hadir Pengurus Besar Svenson, G Lim Siew Leng dan Pengurus Kanan Svenson, Patricia Cheah

Mengatasi masalah yang dialami hampir kebanyakan manusia, pusat penjagaan kulit kepala dan rambut, Svenson memperkenalkan Kempen Kesedaran Kesihatan Rambut dan Kulit Kepala 2007/08 buat kali ketiga.

Menerusi kempen berkenaan, Svenson yang mencari pelanggan mengalami masalah keguguran rambut dan kebotakan berjaya merawat enam orang profesional meredakan masalah berkaitan kesihatan dan kecantikan rambut.

Mereka yang berjaya mengembalikan kecantikan rambut itu kini menjadi jurucakap kepada produk berkenaan antaranya penyampai radio, Muhd Shazali Mukhtar, 24; penganalisis dana, Chang Min Wai, 27; wartawan penyiaran, S Jane Priya, 29; eksekutif pemasaran, Sharon Tan Suet Li, 26; perunding kewangan, Bryan Low Der-Shyong, 29; dan perunding teknologi, Wong Ken Nee, 25.

Teo berkata, keenam-enam jurucakap berkenaan diberi perhatian sepenuhnya dalam penjagaan rambut dan kulit kepala selepas terpilih sebagai peserta peringkat akhir dalam kempen berkenaan. Mereka menggunakan teknologi terbaru iaitu Meso-Elixir Hair Therapy (MET).

"MET ialah prosedur yang menggunakan kepakaran menggabungkan Episternum Mesoepisternum (Meso) dan serum rambut Eliksir untuk mencapai tahap pertumbuhan rambut maksimum. Rawatan berkenaan adalah satu teknik transdermal elektro peresapan yang meleraikan bahan aktif melalui kulit menggunakan elektrik nadi.

"Mesoporasi ialah kaedah yang tidak menggunakan jarum, tidak menyakitkan dan tiada kesan sampingan," katanya.

Beliau berkata, serum rambut Eliksir mengandungi campuran vitamin asas, mineral dan asid amino. Bahan berkenaan adalah semula jadi dan selamat digunakan.

Selain itu, Teo berkata, antara punca berlakunya botak ialah genetik. Masalah itu boleh diwarisi sama ada daripada bapa, ibu atau kedua-duanya. Selain itu pertumbuhan dan keguguran rambut juga dipengaruhi tindak balas hormon di dalam badan.

Hormon utama yang mempengaruhi proses itu ialah dihidroksitestosteron (DHT), hormon dalam kelas androgen yang mengganggu sistem endokrin dan boleh menyebabkan botak.

Begitu pun, penjagaan yang baik, teratur dan menggunakan kaedah yang betul sekali gus memberi kesan yang memberangsangkan.

FAKTA: Punca botak
• Genetik.
• Perubahan hormon.
• Ubat-ubatan dan bahan kimia.
• Trauma.
• Serangan autoimun.
• Jangkitan mikroorganisma.
• Penyakit kulit.

Jenis Botak
• Androgenetic alopecia- botak disebabkan keturunan.
• Traction alopecia - disebabkan sentiasa mendandan rambut dalam satu cara dan kekerapan menarik rambut.
• Telogen effluvium - disebabkan tekanan emosi dan fisiologi
• Anagen effluvium (toxic alopecia) - berpunca daripada tindak balas bahan kimia yang menyebabkan peringkat pembesaran rambut terganggu.
• Alopecia areata - kerana serangan sistem imun terhadap sel folikel

Pencegahan
• Mengambil nutrien secara seimbang.
• Menjaga kebersihan kulit dan rambut.
• Melindungi daripada sinaran ultra lembayung.
• Mengendalikan rambut dengan lembut dan mengurangkan dandanan rambut yang keterlaluan.
• Sentiasa bersenam.
• Pengurusan tekanan lebih baik.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

Saturday, March 29, 2008

VAGINITIS KENA JALANI UJIAN MAKMAL

BERITA HARIAN : Diagnosis
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my

Jangkitan vagina boleh melarat hingga membawa kepada penyakit keradangan pelvis (PID), berpotensi jejaskan kesuburan dan kehamilan luar rahim

JANGKITAN vagina atau dikenali sebagai vaginitis adalah masalah yang biasa dialami wanita, tetapi tidak semua mendapat rawatan yang betul sehingga menyebabkan masalah itu berterusan bertahun-tahun.

Vaginitis adalah radang pada vagina yang menyebabkan lelehan (discharge), kegatalan, rasa sakit selain seperti terbakar ketika hubungan intim. Selalunya punca vaginitis disebabkan perubahan dalam keseimbangan bakteria normal vagina atau mungkin juga disebabkan jangkitan.

Secara lazimnya, selain jangkitan dan bakteria, ia mungkin disebabkan protozoa dan fungus atau jangkitan campuran atau serentak dengan sekurang-kurangnya dua daripada tiga patogen itu. Vaginitis juga boleh terjadi apabila tahap estrogen merosot selepas putus haid.

Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan dan Perbidanan Fetal, Dr S Raman, berkata dianggarkan seorang dalam setiap lima wanita berjumpa pakar sakit puan kerana masalah vaginitis. Bagaimanapun, kebanyakan mereka tidak tahu punca jangkitan.

"Sungguhpun vaginitis masalah ginekologi yang biasa, ia sukar disahkan kerana terlalu banyak punca yang boleh menyebabkannya.

"Tambahan pula gejala vaginitis agak mengelirukan selain sikap sesetengah doktor yang tidak melakukan diagnosis dengan sempurna seperti mengambil contoh lelehan vaginitis untuk analisis makmal," katanya.

Lelehan daripada vagina adalah masalah biasa terutama apabila berlaku perubahan hormon atau pada waktu subur. Bagaimanapun, apabila jumlahnya banyak, berwarna kelabu, hijau atau seakan keju yang likat, disertai pula rasa pedih dan sakit, ia bukan normal.

Oleh kerana malu, selain vaginitis tidak menyebabkan kematian, ramai wanita hanya mendiamkan diri.

Jika vaginitis berpunca daripada bakteria, ia boleh melarat hingga membawa kepada penyakit keradangan pelvis (PID) yang seterusnya berpotensi menjejaskan kesuburan dan menyebabkan kehamilan luar rahim. Malah, jika puncanya adalah gabungan antara bakteria dan trikomoniasis (bakteria yang berada dalam usus) ia boleh menjejaskan kehamilan hingga menimbulkan masalah kelahiran tidak cukup bulan dan bayi lahir dengan masalah kurang berat badan.

Dr Raman berkata, dari sudut yang lain pula, punca vaginitis tidak boleh ditentukan atau dikenal pasti secara tepat berasaskan gejala atau pemeriksaan fizikal saja.

Diagnosis vaginitis katanya, memerlukan pemeriksaan contoh lelehan vagina menggunakan mikroskop.

"Keberkesanan ujian bukan saja berbeza dan sentiasa tepat kerana diagnosis sedemikian mengambil masa dan boleh meningkatkan kos kepada pesakit secara keseluruhan. Bagi wanita yang mengalaminya akan terus berasa tidak selesa dan ada kalanya jangkitan semakin teruk," katanya

Dr Raman berkata, wanita yang mengalami vaginitis boleh menuntut doktor yang merawat mengambil sampel lelehan vaginitis untuk ujian makmal. Berdasarkan keputusan itu, ubat yang bersesuaian dengan faktor jangkitan akan diberikan. Di pasaran, Bayer Schering Pharma memperkenalkan terapi campuran yang mudah untuk diguna, tidak kira apa jua punca vaginitis atau diagnosisnya.

Gejala dan simptom
• Perubahan dalam warna, bau atau jumlah lelehan yang keluar daripada vagina
• Vagina seperti terbakar dan gatal
• Sakit ketika hubungan intim
• Sakit ketika membuang air kecil
• Vagina yang mengalami sedikit pendarahan

Punca vaginitis

Bakteria
Ia punca biasa vaginitis di kalangan wanita yang subur untuk melahirkan anak. Biasanya ditandai dengan lelehan vagina yang tidak normal dan berbau hanyir. Malah, baunya lebih kuat selepas hubungan kelamin.

Trikomoniasis
Biasanya ia jangkitan saluran usus. Lelehan vagina berwarna kuning kehijauan atau kelabu secara keterlaluan. Jangkitan trikomoniasis juga menyebabkan ketidakselesaan ketika hubungan intim, kencing, vagina yang berbau, kemaluan rasa gatal dan pedih selain sakit pada bahagian bawah abdomen.

Jangkitan yis
Vaginitis yang berpunca daripada yis sukar didiagnosis kerana biasanya ia tidak memperlihatkan banyak tanda dan gejala. Ini menyebabkan vagina rasa gatal, pedih dan sakit. Jangkitan yis menyebabkan sakit ketika kencing dan hubungan intim selain lelehannya berwarna putih bercampur kelabu seperti keju (berair dan pekat).

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

Tuesday, March 25, 2008

TANGANI TEKANAN MENTAL SECARA POSITIF

BERITA HARIAN : Diagnosis
Bersama Dr Noordin Darus

BERBEZA dengan artikel lalu mengenai pemakanan sihat untuk menguruskan badan, kali ini, saya ingin menyentuh masalah tekanan yang kita hadapi dan kepentingan bersenam dalam kehidupan seharian kita.

Menguruskan tekanan mental yang anda hadapi

Tekanan mental dalam hidup seharian kita wujud dalam pelbagai bentuk dan saiz. Setiap orang menangani tekanan mental mengikut cara tersendiri. Ada yang menganggapnya sebagai dorongan untuk mengusahakan sesuatu tugasan. Bagi orang lain, tekanan mental boleh melumpuhkan semangat. Ada yang cuba menanganinya dengan makan mengikut nafsu manakala yang lain tunduk kepada godaan alkohol dan dadah. Sepatutnya, anda tidak boleh ditewaskan tekanan mental. Caranya ialah dengan mempelajari bagaimana menguruskan tekanan mental dengan berkesan.

Saya pernah ternampak plak di atas meja seorang pengarah syarikat berbunyi “Adakah anda datang membawa penyelesaian kepada masalah atau adakah anda sebahagian daripada masalah?” Kebanyakan majikan menggunakan kenyataan seperti itu untuk mengingatkan pekerja, khususnya di peringkat eksekutif, mengenai sumbangan atau ketiadaannya kepada organisasi itu. Ini kerana, majikan membayar gaji atas jangkaan kewajipan yang sudah dijanjikan itu akan dilaksanakan pekerja.

Suasana perniagaan hari ini pantas pergerakannya dan mencabar dengan tahap persaingan yang tinggi. Mereka yang cekap, memiliki dorongan dan tenaga secukupnya, mempunyai arah tuju yang jelas dan sasaran persendirian dan kerjaya yang jelas akan berjaya. Mereka yang kurang cekap atau kurang dorongan akan ketinggalan.

Ada eksekutif menetapkan sasaran amat tinggi dan tidak pernah goyah dalam usaha mencapainya, namun kejayaan tetap tidak dapat dikecapi. Kegagalan mereka itu disebabkan penetapan sasaran terlalu tinggi dengan mengambil kira masa dan bakat, masalah peribadi yang amat membebankan, pengurusan masa tidak cekap atau kerap tidak hadir bekerja disebabkan penyakit kronik.

Atau mungkin juga mereka sudah kehilangan hala tuju, dengan menganggapnya pula sebagai tekanan yang menelan tenaga. Mereka ini akhirnya akan begitu tertekan sehingga tidak lagi menjadi aset kepada organisasi malah beban. Sudah tentu majikan tidak inginkan eksekutifnya berasa tertekan kerana mereka sedar, tekanan mental itu boleh menyebabkan penyakit seperti hipertensi, penyakit jantung, migrain, sembelit, ulser gastrik, kelesuan, insomnia, permasalahan usus dan kemandulan, yang semuanya akan bermakna kurang masa dapat ditumpukan kepada kerja.

Tekanan mental adalah gerak balas kepada keadaan yang dirasai

Badan manusia mempunyai suatu set keadaan biokimia yang cuba menyesuaikannya dengan rangsangan dirasai sebagai tekanan, ketegangan dan tekanan mental. Ini menghasilkan perubahan psikologi dan fisiologi. Kelenjar pituitari, yang terletak di bawah otak, menghasilkan hormon yang kemudiannya merangsang pengeluaran hormon tambahan daripada kelenjar adrenal, yang terletak di sebelah buah pinggang, termasuklah hormon adrenalin dan kortisol.

Andainya badan manusia dikenakan tekanan, ketegangan dan tekanan mental sedemikian berulang kali, jumlah adrenalin dan kortisol yang dihasilkan akan melebihi had selamat kepada badan manusia.

Kelebihan adrenalin akan menambahkan risiko darah beku dan pengerasan arteri. Ini boleh menyebabkan pelbagai penyakit vaskular termasuk serangan jantung dan strok.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

LELAKI LEBIH MUDAH KENA BARAH GINJAL

BERITA HARIAN : Diagnosis
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my


Lebih 90 peratus pesakit berusia 45 tahun ke atas

SECARA umum lelaki lebih kerap berhadapan dengan penyakit barah ginjal berbanding wanita. Mengikut anggaran umum, jumlah lelaki yang berhadapan dengan penyakit ini adalah dua kali ganda daripada wanita.

Malah, risiko barah ginjal semakin tinggi seiring dengan peningkatan usia. Lebih 90 peratus daripada kes membabitkan mereka yang didiagnos dengan barah ginjal adalah pesakit yang berusia 45 tahun ke atas.

Pakar Onkologi Klinikal dan Presiden Persatuan Onkologi Malaysia, Dr Gucharan Singh Khera, berkata umumnya pada waktu didiagnos, barah berkenaan sudah mengalami metastatis (merebak ke bahagian tubuh yang lain) di kalangan satu pertiga pesakit.

Dr Gucharan berkata, sehingga kini 208,000 orang di seluruh dunia didapati menghidap barah buah pinggang setiap tahun manakala 102,000 individu meninggal dunia akibat penyakit itu setahun. Pada tahun lalu, 51,000 kes barah ginjal didiagnos di Amerika Syarikat dengan membabitkan 13,000 kematian.

Katanya, walaupun wujud kemajuan dalam usaha memahami mekanisme pertumbuhan pelbagai jenis barah, barah ginjal masih menjadi penyakit yang belum difahami sepenuhnya.

“Apabila barah ginjal berada pada tahap lanjut, ia sangat sukar dikawal. Pada umumnya barah ginjal adalah penyakit yang tidak bertindak balas dengan kemoterapi atau terapi hormon,” katanya.

Menurut laporan kedua Daftar Kanser Kebangsaan mengenai kes barah di Malaysia pada 2003, ada 305 kes barah ginjal disahkan secara diagnosis di Semenanjung.

Faktor risiko

• Pesakit yang menjalani dialisis ginjal dan mereka yang mempunyai sejarah barah ginjal dalam keluarga berhadapan dengan risiko yang tinggi untuk diserang penyakit ini.
• Merokok adalah faktor risiko utama barah ginjal. Perokok memiliki kebarangkalian dua kali ganda lebih tinggi berhadapan barah ginjal berbanding mereka yang tidak merokok.
• Obesiti dan penggunaan ubat penahan atau pelega kesakitan dalam jangka panjang juga boleh mengundang masalah ini.

Simptom

• Darah dalam air kencing
• Sakit belakang
• Sakit pada sisi badan yang tidak hilang
• Sakit atau pembesaran pada abdomen
• Kehilangan berat badan yang tidak diketahui puncanya
• Hilang selera makan
• Badan letih dan lesu

Rawatan

Rawatan barah ginjal bergantung pada tahap seriusnya penyakit itu dan keadaan kesihatan pesakit secara menyeluruh.

Terapi utama bagi barah ginjal adalah pembedahan. Bagaimanapun, ia hanya berkesan jika semua barah dapat dibuang. Rawatan radiasi juga boleh dibuat apabila barah sudah merebak ke luar ginjal.

Selain itu, pesakit boleh menggunakan rawatan kemoterapi tetapi rawatan ini hanya boleh dilakukan pada sesetengah pesakit saja.

Ada kaedah terapi baru yang digunakan kepada pesakit barah ginjal yang bertindak ke atas bahagian khusus sel barah. Rawatan ini menunjukkan keberkesanannya dalam rawatan pesakit barah ginjal lanjutan. Ini termasuk ubat menghalang pertumbuhan sel darah baru dan ubat yang mensasarkan faktor pertumbuhan sel penting yang lain.

Bayer Schering Pharma baru-baru ini, memperkenalkan sejenis pil oral yang diambil dua kali sehari. Pil ini dikenali sebagai Nexavar yang bertindak merencatkan pembentukan salur darah baru yang membekalkan darah dan nutrisi kepada tumor.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

ROKOK PUNCA MATI MUDA

BERITA HARIAN : Diagnosis
Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

Kajian meramalkan lebih 36 bilion penduduk dunia mati muda akibat penyakit kronik menjelang 2015

PENYAKIT yang ‘menyerang’ manusia ialah penyakit berjangkit atau wabak seperti tibi, malaria atau HIV manakala penyakit berpunca daripada manusia sendiri seperti diabetes, penyakit jantung, kanser dan strok.

Akan tetapi, daripada semua jenis penyakit yang berpunca atau dihasilkan manusia, ada beberapa penyakit serius yang diklasifikasikan sebagai ‘kronik’ berikutan ia mencetuskan hampir dua kali ganda jumlah kematian di seluruh dunia berbanding punca kematian lain.

Kumpulan penyakit yang dikenali sebagai ‘penyakit kronik tidak berjangkit’ (CNCD) itu seterusnya mencetuskan kebimbangan di kalangan saintis serta pakar perubatan sehingga menyebabkan pelbagai usaha dan penyelidikan dilakukan bagi mengatasi penularannya.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), antara penyakit yang termasuk dalam kategori CNCD adalah penyakit berkaitan kardiovaskular, diabetes jenis kedua, penyakit kronik berkaitan respiratori selain beberapa jenis kanser.

Pengarah Institut Antarabangsa Berkaitan Kesihatan Global, Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNU-IIGH), Tan Sri Mohamed Salleh Mohamed Yasin, berkata CNCD amat dibimbangi kerana menjadi punca kira-kira 60 peratus kematian di seluruh dunia.

“Lebih membimbangkan adalah penyakit kronik CNCD turut mencatatkan 44 peratus kematian terhadap pesakit yang masih muda; jumlah kematian keseluruhan pula dua kali ganda membabitkan penyakit berjangkit termasuk HIV/AIDS, tibi dan malaria,” katanya.

Beliau berkata, dari sudut ekonomi pula, CNCD turut memberi impak negatif yang dahsyat terhadap produktiviti sesebuah negara. Dianggarkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, China, India dan United Kingdom, masing-masing akan kerugian AS$558 bilion, AS$237 bilion dan AS$33 bilion akibat kematian rakyatnya yang disebabkan penyakit kronik berkenaan.

“Tanpa ada usaha untuk menghentikan penularan CNCD, dianggarkan 388 bilion penduduk seluruh dunia akan mati akibat penyakit ini dalam tempoh 10 tahun, malah sejumlah 36 bilion penduduk mati pada usia muda menjelang 2015,” katanya yang dilantik menjadi pengarah pertama bagi UNU-IIGH sejak institut itu ditubuhkan pada 1 Mac lalu.

Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kes CNCD adalah purata jangka hayat penduduk yang lebih panjang, penggunaan tembakau atau merokok, kurangnya aktiviti jasmani dan pemilihan makanan tidak sihat.
“Sebenarnya kebanyakan punca penularan penyakit CNCD ini boleh dicegah kerana ia membabitkan gaya hidup seseorang. Sebanyak 80 peratus kematian pada usia muda akibat penyakit jantung, strok atau diabetes boleh dielakkan dengan mengamalkan cara hidup sihat selain pengetahuan mengenai aspek farmaseutikal,” katanya.

Beliau berkata, ada penyakit kronik CNCD yang berpunca daripada merokok, justeru dengan menghentikan tabiat merokok, ia secara tidak langsung mampu mengatasi penularan penyakit berkenaan.

“Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Kementerian Kesihatan yang diketuai Profesor Dr Syed Mohamed Aljunid mendapati seramai 93,306 penduduk di negara ini meninggal dunia akibat penyakit yang berpunca daripada merokok dari 2004 hingga 2007.

“Malah setiap tahun, lebih 33,000 kes baru dicatatkan bagi penyakit jantung, kanser paru-paru (hampir 3,000) dan penyakit semput kronik (kira-kira 12,800) yang berpunca daripada merokok,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga membelanjakan sekitar RM3.4 bilion setahun bagi merawat ketiga-tiga penyakit terbabit dan jumlah sebanyak itu pasti dapat disalurkan untuk manfaat lain yang lebih baik jika tabiat merokok dapat dihenti atau dikurangkan.

“Akan tetapi untuk menghentikan tabiat merokok adalah satu cabaran besar di negara kita. Kajian mendapati 49 peratus daripada lelaki dewasa (berusia 18 tahun ke atas) merokok malah wanita pula sebanyak lima peratus.

“Kajian mendapati jumlah perokok wanita meningkat berbanding 20 tahun lalu. Dulu hanya 0.5 peratus tetapi kini sudah lima peratus. Puncanya mungkin disebabkan lebih ramai wanita muda sekarang yang berkerjaya, profesional dan pengaruh iklan syarikat rokok,” katanya.

Kesan buruk rokok sebagai satu daripada pencetus CNCD menyebabkan ada beberapa negara yang mengambil langkah ketat terhadap barang berkenaan bagi mengurangkan jumlah perokok di negara mereka.

“Kanada misalnya cuba mengurangkan jumlah perokok di negara mereka dengan menaikkan harga rokok dengan kadar yang tinggi, melarang menjual rokok secara batang selain memperbanyakkan kawasan larangan merokok,” katanya.

Beliau berkata, aspek pencegahan penyakit CNCD dapat dijayakan menerusi integrasi pelbagai pihak membabitkan bidang sains, teknologi, polisi dan sosial; daripada pemerintah sehingga ke rakyat bawahan.

Sehubungan itu, Mohamed Salleh berkata, pihaknya di UNU-IIGH akan melakukan pelbagai penyelidikan dalam bidang kesihatan global antaranya kualiti dalam sistem penjagaan kesihatan; kajian penyakit dan kaedah kawalan, pembangunan teknologi maklumat dalam kesihatan seterusnya kesan perubahan iklim dan impak globalisasi terhadap kesihatan.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

Saturday, March 22, 2008

ORANG SIHAT TAK SEMESTI CERGAS

Oleh Ziauddin Sharuddin

Senaman perlu ada matlamat, dilakukan secara berstruktur

RAMAI yang menganggap sihat dan cergas adalah perkara yang sama. Adakah apabila seseorang sihat bermakna dia cergas?

Tanggapan salah ini masih wujud di kalangan sebahagian besar orang menyebabkan penyertaan rakyat Malaysia untuk melakukan aktiviti yang menyihatkan tubuh badan masih rendah. Tidak perlu melakukan kajian terperinci, pergi saja ke taman awam, boleh dikira mereka yang berjoging atau berjalan pantas.

Mungkin ramai yang menyangka mengapa perlu bersenam sedangkan mereka tidak mempunyai penyakit.

Pemahaman ini ternyata tidak begitu tepat kerana tidak semesti orang yang sihat adalah cergas. Bagaimanapun, orang yang cergas selalunya adalah sihat.

Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan, Dr Mohd Ismail Abdul Samad, berkata orang yang sihat perlu melakukan senaman untuk mengekalkan kesihatan.

Bagaimanapun, beliau mengakui walaupun senaman diperkenalkan sebagai kaedah untuk sihat, tetapi kajian menunjukkan perkataan senaman menjadi alergi.

“Orang takut dan susah untuk bersenam, malah kajian di seluruh dunia menunjukkan program senaman selalu menemui kegagalan.

“Kempen cergas dan sihat yang hanya memfokuskan kepada senaman akan menemui kegagalan kerana orang hanya aktif pada peringkat awal dan lama-kelamaan terus hambar kerana aktiviti ini memerlukan semangat dan mempunyai matlamat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya orang yang bersenam perlu menetapkan sasaran seperti jika pada peringkat awal berlari sejauh dua kilometer dalam 10 minit, maka sasarannya adalah berlari jarak sama dalam masa lima minit.

Katanya, sesetengah orang bersenam untuk menurunkan berat badan tetapi tidak meletakkan sasaran berat yang hendak dicapai.

Beliau juga mengingatkan bahawa bahawa senaman tidak mencukupi jika mengabaikan pemakanan kerana senaman menyebabkan selera makan meningkat dan jika gagal mengamalkan pemakanan sihat, mereka juga terdedah mendapat penyakit.

Senaman atau aktiviti fizikal

Dr Mohd Ismail mengajak orang ramai mengetahui perbezaan antara aktiviti fizikal yang tidak semesti menyihatkan dan senaman.

Katanya, aktiviti fizikal ialah semua bentuk pergerakan anggota tubuh badan yang mempunyai otot dan tulang kerangka seperti kaki dan tangan. Ini termasuk kerja rumah seperti memasak, menyapu dan mendukung anak atau bermain golf dan bola sepak.

“Walaupun senaman adalah sebahagian aktiviti fizikal, tetapi dilakukan secara berkala, berstruktur dan mempunyai matlamat.

“Menunggang basikal adalah aktiviti fizikal atau riadah apabila dilakukan untuk bersiar-siar, tetapi jika dilakukan dalam tempoh tertentu seperti 30 minit tanpa henti, aktiviti ini menjadi senaman. Begitu juga menunggang basikal statik selama 30 minit dalam bilik secara tetap akan menjadi senaman khusus,” katanya.

Beliau berkata, pakar perubatan berpandangan bahawa senaman tidak perlu lasak seperti mendaki bukit, mengangkat berat atau bermain bola, tetapi secara sederhana dengan setiap aktiviti hanya kira-kira 30 minit tiga kali seminggu.

Perlukah bersenam jika bekerja lasak

ORANG yang bekerja lasak tidak memerlukan senaman kerana sudah mencapai tahap kecergasan optimum.

Dr Mohd Ismail berkata, sesetengah pekerjaan seperti pesawah atau penoreh getah membolehkan seseorang itu memiliki jantung yang baik, tetapi masih perlu melakukan senaman tertentu untuk melentur sendi.

Bagaimanapun, katanya ada keadaan pekerjaan yang tidak membolehkan pembakaran banyak tenaga dan lemak seperti pekerja pejabat.

“Tubuh manusia menggunakan karbohidrat sebagai tenaga yang mudah diperolehi dan kemudian lemak. Jika kita berjalan selepas makan, tenaga yang digunakan ialah karbohidrat dan selepas habis digunakan, baru lemak dibakar.

“Malangnya jika makan banyak nasi dan kemudian berjalan, lemak tidak diusik kerana yang dibakar hanya karbohidrat. Lebih buruk apabila karbohidrat daripada nasi pun tidak digunakan dan pada masa sama, lemak bertambah,” katanya.

Katanya, seseorang menjadi gemuk apabila apa yang dimakan tidak digunakan sepenuh dan disimpan hingga lama kelamaan sukar untuk bersenam.

Selain itu wujud kekeliruan di kalangan sesetengah orang senaman tidak perlu kerana kerja yang dilakukan suri rumah seperti memasak dan melipat kain menggunakan tenaga.

“Memang benar kerja rumah dan sesetengah kerja pejabat menggunakan tenaga, tetapi hanya otot kecil digunakan yang tidak boleh membakar tenaga dan lemak. Senaman diperlukan untuk menggerakkan otot besar,” katanya

FAKTA

Kebaikan senaman
• Bersenam meningkatkan produktiviti. Sesetengah negara maju seperti Jepun dan Sweden memberi insentif kepada pekerja yang bersenam kerana memberi kesan positif kepada kecergasan dan produktiviti.Pekerja yang tidak bersenam lebih berisiko mendapat penyakit dan produktiviti merosot kerana memerlukan rehat apabila sakit. Pekerja yang bersenam dan sihat walaupun sakit mengambil cuti sakit lebih singkat.
• Senaman menambah keceriaan, kecantikan dan ketampanan.
• Pekerja yang bersenam lebih tahan lasak dan dapat bekerja bagi tempoh lebih lama seperti hingga jam 10 malam. Pekerja yang tidak cergas mudah berasa penat dan mungkin hanya bertahan setakat jam 4 atau 5 petang.
• Senaman menyebabkan orang tidur nyenyak dan badan yang berehat ketika tidur menyebabkan sistem tubuh badan cantik.
• Tekanan perasaan dikurangkan dengan bersenam. Tekanan perasaan yang bermula dari otak mengalir dalam tubuh badan dan kadang-kadang memberi tekanan menyebabkan otot tegang. Senaman menyebabkan otot menjadi kendur dan darah mengalir.
• Senaman mengurangkan atau melambat mendapat penyakit. Dalam kes pesakit diabetes, senaman menyebabkan sensitiviti insulin meningkat dan gula dari darah yang hendak dimasukkan dalam sel meningkat. Banyak kajian menunjukkan bahawa pesakit diabetes yang bersenam boleh mengawal paras gula darah.

Dalam satu kajian, orang yang hampir mendapat diabetes disuruh melakukan senaman selama 30 minit satu sesi, sekurang-kurang lima kali seminggu dan didapati dapat mencegah mendapat penyakit itu sebanyak 58 peratus.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com