Tuesday, April 1, 2008

MASALAH RAMBUT GUGUR TIDAK MENGENAL USIA

BERITA HARIAN : Citra
Oleh Hidayah Mohammad

Botak boleh dielakkan jika setiap individu amal gaya hidup seimbang, jaga pemakanan dan diet

PENUAAN sering dikaitkan dengan tumpuan kepada kulit wajah sehingga ada yang lupa bahawa rambut juga mengalami masalah penuaan. Malah ada yang menganggap masalah keguguran rambut serius seperti botak hanya dialami oleh mereka yang semakin meningkat usia.

Jangan disangka pada usia muda anda tidak akan menghadapi masalah botak. Tahap serius botak adalah pelbagai iaitu dari rambut jarang hinggalah kepada ketiadaan rambut langsung.

Ketua Trikologi Pusat Rambut Svenson, Teo Kim Teik berkata keguguran rambut yang berlaku antara 50 hingga 100 helai sehari adalah dikategorikan normal, tetapi jika berlebihan perlu diambil perhatian serius dengan mendapatkan rawatan segera.

"Pakar kesihatan juga sering kali menyarankan setiap individu mengamalkan gaya hidup seimbang terutama dari segi pemakanan. Ini adalah kerana ia boleh menyebabkan keguguran rambut yang mana hampir 90 peratus komponen penting rambut adalah protein.

"Kesihatan rambut banyak bergantung kepada pengambilan zat seperti kalsium dan zink. Bagaimanapun, mengambil terlalu banyak vitamin A dan D juga boleh menyebabkan rambut gugur," katanya pada majlis kejayaan membantu enam juru cakap produk Svenson di ibu kota, baru-baru ini. Turut hadir Pengurus Besar Svenson, G Lim Siew Leng dan Pengurus Kanan Svenson, Patricia Cheah

Mengatasi masalah yang dialami hampir kebanyakan manusia, pusat penjagaan kulit kepala dan rambut, Svenson memperkenalkan Kempen Kesedaran Kesihatan Rambut dan Kulit Kepala 2007/08 buat kali ketiga.

Menerusi kempen berkenaan, Svenson yang mencari pelanggan mengalami masalah keguguran rambut dan kebotakan berjaya merawat enam orang profesional meredakan masalah berkaitan kesihatan dan kecantikan rambut.

Mereka yang berjaya mengembalikan kecantikan rambut itu kini menjadi jurucakap kepada produk berkenaan antaranya penyampai radio, Muhd Shazali Mukhtar, 24; penganalisis dana, Chang Min Wai, 27; wartawan penyiaran, S Jane Priya, 29; eksekutif pemasaran, Sharon Tan Suet Li, 26; perunding kewangan, Bryan Low Der-Shyong, 29; dan perunding teknologi, Wong Ken Nee, 25.

Teo berkata, keenam-enam jurucakap berkenaan diberi perhatian sepenuhnya dalam penjagaan rambut dan kulit kepala selepas terpilih sebagai peserta peringkat akhir dalam kempen berkenaan. Mereka menggunakan teknologi terbaru iaitu Meso-Elixir Hair Therapy (MET).

"MET ialah prosedur yang menggunakan kepakaran menggabungkan Episternum Mesoepisternum (Meso) dan serum rambut Eliksir untuk mencapai tahap pertumbuhan rambut maksimum. Rawatan berkenaan adalah satu teknik transdermal elektro peresapan yang meleraikan bahan aktif melalui kulit menggunakan elektrik nadi.

"Mesoporasi ialah kaedah yang tidak menggunakan jarum, tidak menyakitkan dan tiada kesan sampingan," katanya.

Beliau berkata, serum rambut Eliksir mengandungi campuran vitamin asas, mineral dan asid amino. Bahan berkenaan adalah semula jadi dan selamat digunakan.

Selain itu, Teo berkata, antara punca berlakunya botak ialah genetik. Masalah itu boleh diwarisi sama ada daripada bapa, ibu atau kedua-duanya. Selain itu pertumbuhan dan keguguran rambut juga dipengaruhi tindak balas hormon di dalam badan.

Hormon utama yang mempengaruhi proses itu ialah dihidroksitestosteron (DHT), hormon dalam kelas androgen yang mengganggu sistem endokrin dan boleh menyebabkan botak.

Begitu pun, penjagaan yang baik, teratur dan menggunakan kaedah yang betul sekali gus memberi kesan yang memberangsangkan.

FAKTA: Punca botak
• Genetik.
• Perubahan hormon.
• Ubat-ubatan dan bahan kimia.
• Trauma.
• Serangan autoimun.
• Jangkitan mikroorganisma.
• Penyakit kulit.

Jenis Botak
• Androgenetic alopecia- botak disebabkan keturunan.
• Traction alopecia - disebabkan sentiasa mendandan rambut dalam satu cara dan kekerapan menarik rambut.
• Telogen effluvium - disebabkan tekanan emosi dan fisiologi
• Anagen effluvium (toxic alopecia) - berpunca daripada tindak balas bahan kimia yang menyebabkan peringkat pembesaran rambut terganggu.
• Alopecia areata - kerana serangan sistem imun terhadap sel folikel

Pencegahan
• Mengambil nutrien secara seimbang.
• Menjaga kebersihan kulit dan rambut.
• Melindungi daripada sinaran ultra lembayung.
• Mengendalikan rambut dengan lembut dan mengurangkan dandanan rambut yang keterlaluan.
• Sentiasa bersenam.
• Pengurusan tekanan lebih baik.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

No comments:

Post a Comment