Tuesday, April 1, 2008

APUNGAN PROSES PENUAAN MATA

BERITA HARIAN : Diagnosis
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my

Objek seperti titik hitam atau garisan mengekori pergerakan anak mata

SELALUNYA pandangan mata Isacc normal dan dia juga tidak memerlukan kaca mata. Bagaimanapun, pada sesuatu ketika, pandangan matanya diganggu satu titik kecil berwarna hitam yang mengekori pergerakan anak mata. Ia tidak membuat pandangan mata kabur, cuma Isacc rasa terganggu.

Titik hitam dalam mata Isac dikenali sebagai apungan. Apungan selalunya satu titik kecil yang berada dalam penglihatan anda sekali sekala. Dalam dunia perubatan, apungan dikenali sebagai ‘muscae volitantes’. Apungan sebenarnya tidak terhad kepada satu titik hitam kecil. Kadangkala berbentuk garis panjang seperti benang atau bundar berjaring kerana ia mengekori pergerakan anak mata, ia seakan ‘lari’ apabila anda cuba melihatnya.

Pakar Perunding Ophtalmologis dan Pembedahan Mata, Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC), Dr Fang Seng Kheong, berkata apungan sebenarnya satu rumpun gel atau sel dalam cecair gel berwarna cerah dalam mata (vitreous). Ia lebih jelas jika anda memandang permukaan berwarna putih atau cerah.

“Memang objek ini seakan kelihatan di depan mata anda, tetapi sebenarnya ia terapung di dalam mata. Apa yang anda lihat adalah bayang-bayang apabila rumpun gel itu disuluh retina,” katanya.

Dr Fang berkata, apungan akan terjadi apabila lebih daripada satu gel dalam vitreous terlekat. Adakalanya, bintik atau habuk protein atau material lain yang terperangkap dalam vitreous juga boleh menyebabkan apungan.

Apungan kata Dr Fang adalah sebahagian daripada proses penuaan mata. Apabila usia meningkat gel vitreous mengecut dan terpisah dari retina. Apabila ia berlaku, pendarahan kecil akan terjadi. Ia biasanya punca apungan bagi mereka yang pernah menjalani pembedahan katarak atau rabun dekat.

Begitupun, retina yang terkoyak selalunya masalah yang serius kerana ia boleh menyebabkan keguguran retina (retina detachment).

Malah, adakala kewujudan apungan mungkin tanda masalah lain terutama jika terjadi secara tiba-tiba. Justeru jika anda berusia 45 tahun ke atas dan berhadapan masalah ini, rujuk doktor mata berdekatan.

Anda juga perlu berjumpa doktor jika satu lagi apungan terjadi atau anda melihat cahaya seakan kilat secara tiba-tiba. Begitu juga jika anda tiba-tiba kehilangan penglihatan sisi.

Dr Fang berkata, cahaya kilat secara tiba-tiba terjadi apabila gel vitreous digosok atau ditarik ke retina. Cahaya kilat ini bersifat ‘sekejap ada dan sekejap tiada’ untuk beberapa bulan atau minggu.

“Jika apungan membabitkan masalah serius seperti retina terkoyak ia memerlukan rawatan segera. Retina yang koyak dan tidak diberikan rawatan boleh menyebabkan anda mengalami keguguran retina dan ia memerlukan pembedahan,”

“Bagaimanapun jika apungan itu tidak mengganggu dan ia tidak mengancam kesihatan seperti didiagnos doktor, apungan itu mungkin hilang perlahan-lahan. Justeru tiada rawatan khusus diperlukan,” katanya.

Apungan yang tidak membahayakan tidak dirawat. Malah mereka yang mengalami apungan belajar untuk tidak mempedulikannya. Jika apungan muncul dalam penglihatan, anda hanya perlu mengerak-gerakkan mata. Ini akan menyebabkan cecair dalam mata beralih dan menyebabkan apungan berubah tempat. Pandang bawah dan ke atas membantu mengalihkan apungan ini.

Begitupun, sebelum membuat apa-apa konklusi, ada baiknya bertemu pakar mata bagi memastikan punca sebenar.

Faktor Apungan
• Apungan adalah sebahagian daripada proses penuaan mata. Apabila usia meningkat gel vitreous mengecut dan terpisah dari retina. Apabila ia berlaku pendarahan kecil akan terjadi. Ia biasanya punca apungan bagi mereka yang pernah menjalani pembedahan katarak atau rabun dekat.
• Kecederaan pada mata
• Radang di dalam mata.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
http://www.xmpsp.com/

No comments:

Post a Comment