Wednesday, April 9, 2008

PENYAKIT KRONIK ANCAMAN BARU

BERITA HARIAN : Diagnosis
16/03/2008 (Ahad)

Diramalkan dalam tempoh 10 tahun, 72 peratus kematian akan disebabkan penyakit kritikal seperti kegagalan buah pinggang, kardiovaskular dan diabetes

PENYAKIT kronik tidak berjangkit seperti kardiovaskular, tekanan darah tinggi, diabetes mellitus dan penyakit kronik buah pinggang (CKD) kini mengambil tempat penyakit berjangkit sebagai ancaman utama kepada kesihatan umum dan bajet kesihatan seluruh dunia.

Ketika kematian disebabkan penyakit berjangkit dijangka menurun sebanyak 3 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang, penyakit kronik tidak berjangkit pula dianggarkan meningkat 17 peratus dengan menyebabkan 72 peratus kematian terutama di kalangan mereka yang berumur 30 tahun ke atas.

Contoh, masalah buah pinggang yang sebelum ini tidak mendapat perhatian kini muncul sebagai unsur kritikal dalam usaha pencegahan penyakit. Penyakit itu menjadi komplikasi yang menyebabkan kematian di kalangan pesakit diabetes dan tekanan darah tinggi serta mampu menjadi indikator perkembangan kejadian kardiovaskular.

Ketua Perkhidmatan Nefrologi, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Rozina Ghazalli, berkata masalah dalam fungsi buah pinggang juga menandakan masalah dalam sistem vaskular.

Justeru, katanya ia boleh menyumbang kepada pengesanan awal penyakit lebih serius seperti strok, vaskular periferi, masalah jantung koronari dan kegagalan fungsi buah pinggang (ESRF).

“CKD wujud apabila perkumuhan albumin dalam air kencing seseorang individu meningkat. Penurunan fungsi buah pinggang atau kadar filtrasi glomerular (GFR) yang banyak juga menandakan wujudnya penyakit ini,” katanya.

Beliau berkata, ini menyebabkan wujud komplikasi lain seperti tekanan darah tinggi, masalah kurang darah (anemia), penyakit jantung dan masalah salur darah lain.

Di seluruh dunia, katanya terdapat lebih daripada 500 juta individu atau seorang daripada 10 orang populasi menghidap penyakit buah pinggang dalam tahap yang berbeza.

Punca utama penyakit buah pinggang adalah masalah nefron atau radang pada buah pinggang, jangkitan, halangan salur kencing serta penyakit keturunan seperti penyakit buah pinggang polisistik.

“Di negara maju dan membangun, puncanya pula dikaitkan dengan diabetes dan tekanan darah tinggi. Penyakit ini juga punca paling biasa penyakit kardiovaskular,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mensasarkan untuk menurunkan kadar kematian disebabkan penyakit kronik sebanyak dua peratus setahun untuk 10 tahun akan datang iaitu bersamaan dengan 36 juta kematian.

Justeru, usaha WHO itu harus diselarikan dengan perancangan kesihatan di seluruh dunia. Satu daripadanya sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia yang dirai bagi menyebarkan mesej CKD adalah masalah kronik yang kerap berlaku, berbahaya tetapi boleh dirawat.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Hari Buah Pinggang Sedunia 2008, Dr Goh Bak Leong, berkata sambutan tahun ini menggabungkan kerjasama antara Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Persatuan Nefrologi Malaysia.

“Kempen itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai masalah penyakit buah pinggang, kepentingan pengesanan awal dan pencegahan penyakit buah pinggang di kalangan kanak-kanak, selain lapisan masyarakat yang lain.

“Ia membabitkan sesi ceramah umum dan pemeriksaan kesihatan buah pinggang oleh unit bergerak Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan,” katanya.

FAKTA

Penyakit kronik buah pinggang
• CKD adalah isu kesihatan global dan dihidapi oleh lebih daripada 500 juta penduduk dunia.
• Pengesanan awal CKD boleh dibuat dengan ujian makmal yang mudah atas sampel darah dan air kencing.
• Kebanyakan individu yang menghidap penyakit CKD pada tahap awal tidak dapat dikesan terutama di negara membangun.
• Pengesanan awal masalah fungsi buah pinggang amat penting kerana ia membolehkan rawatan sesuai diberi sebelum kerosakan buah pinggang atau kewujudan komplikasi lain.
• Pemeriksaan buah pinggang harus menjadi keutamaan untuk individu yang mempunyai risiko tinggi seperti pesakit diabetes mellitus dan tekanan darah tinggi, individu obes dan merokok, berusia lebih 50 tahun, individu dengan sejarah keluarga diabetes mellitus, tekanan darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

KOMPUTER PUNCA MATA JADI KERING

BERITA HARIAN : Diagnosis
30/03/2008 (Ahad)

Kedudukan lebih tinggi dan renung ke bawah ketika lihat skrin posisi terbaik

MATA yang kering menyebabkan ketidakselesaan, kadang kala berasa sakit, gatal dan kemerahan. Sebenarnya, mata bergantung pada air mata yang secara berterusan melembapkan dan mengekal penglihatan selain membuatkan kita lebih selesa.

Secara saintifiknya, air mata adalah kombinasi air untuk melembapkan, minyak untuk melancarkan selain mukus, antibodi dan sejenis protein istimewa. Semua komponen ini dirembes oleh kelenjar sekitar mata. Apabila sistem air mata ini tidak stabil, mata akan menjadi kering.

Ada juga sebab lain yang menjadikan mata kering. Ia mungkin disebabkan proses penuaan, kesan sampingan penggunaan sesetengah ubat dan penyakit misalnya rheumatoid arthritis. Ia juga boleh terjadi kerana udara kering yang dihasilkan oleh sistem penghawa dingin, cuaca yang panas atau keadaan persekitaran.

Dalam satu kajian ke atas pengguna kanta lekap mengesahkan penggunaan komputer sama ada untuk bekerja, belajar atau bermain, menjadi faktor utama terhadap fenomena mata menjadi kering.

Sindrom mata menjadi kering sering berlaku di kalangan pengguna kanta lekap kerana material pada kanta lekap itu menyerap protein dan komponen air mata yang lain. Ini menyebabkan terjadinya tompokan kering pada kanta lekap.

Advanced Medical Optics (AMO), pembuat produk titisan mata jenama Blink™ Contacts Eye Drops menjalankan kajian untuk mencari tiga lokasi dan faktor utama yang menyebabkan mata menjadi kering.

Dalam kajian itu kira-kira 100 pengguna kanta lekap yang berusia antara 15 hingga 55 tahun menyertai soal selidik yang diadakan bermula September 2007. Hasilnya, sekitar 68.8 peratus responden menyenaraikan penggunaan komputer sebagai faktor paling kerap yang menyebabkan mereka berasa mata menjadi kering.

Kajian dilakukan di Universiti Ohio State pula mendapati kekerapan mata berkelip menurun daripada purata 15 kelipan seminit ketika mata dalam keadaan tenang kepada 7.5 kelipan seminit meskipun hanya menjeling ke arah komputer pada paras 5 peratus daripada tempoh waktu kerja. Jumlah ini semakin menurun kepada hanya empat kelipan seminit apabila menjeling ke arah skrin sehingga ke paras 50 peratus.

Oleh kerana mata mengelip adalah cara semula jadi mata untuk merembeskan air mata dan menyegarkan kembali mata yang mengalami kekeringan, merenung tepat tanpa berkelip meskipun untuk tempoh singkat, boleh menyebabkan mata menjadi kering dengan lebih cepat. Ini kerana lapisan nipis air pada mata akan terserap lebih pantas.

Dalam kajian itu 14 peratus responden menyenaraikan berada di dalam kelab dan pub sebagai keadaan yang sering menyebabkan mata menjadi amat kering. Majoriti responden ini adalah mereka yang berada dalam lingkungan usia 18 hingga 29 tahun.

Maklum balas mereka ini sepadan dengan penyelidikan sebelum ini yang mengenal pasti asap termasuk asap daripada rokok menjadi satu faktor menyumbang kepada keadaan mata menjadi kering.

Selain itu, mereka yang sering menggunakan kapal terbang turut menyenaraikan kabin pesawat sebagai persekitaran yang menjadi punca utama mata kering (7.5 peratus).

Keputusan itu tidak mengejutkan kerana meskipun wujud banyak faktor persekitaran dalam pesawat yang menyumbang gejala mata tidak selesa (terutama kepada pengguna kanta lekap), penyelidikan terkini menunjukkan bahawa tahap kelembapan yang rendah dalam kabin berkemungkinan menjadi faktor utama mata menjadi tidak selesa.

Paras kelembapan kira-kira 50 peratus adalah tahap optimum untuk keselesaan mata dan secara perbandingan, kelembapan di Gurun Sahara dan Arab adalah sekadar 20 hingga 25 peratus.

Tahap kelembapan dalam kabin kapal terbang bagi perjalanan jarak jauh serta penerbangan di altitud tinggi, sering menjadi begitu rendah dan ada kalanya hanya mencatatkan paras kelembapan satu peratus. Ini menyebabkan mata menjadi kering, terutama di kalangan pengguna kanta lekap.

Responden turut menyenaraikan panggung wayang (5.4 peratus) dan kompleks beli belah (2.2 peratus) sebagai antara persekitaran yang menjadi punca mata menjadi kering.

Pengguna kanta lekap yang mengalami keadaan mata menjadi kering seharusnya memilih menitiskan titisan mata yang diformulakan untuk setiap keperluan penggunaan mereka, berbanding titisan mata biasa yang sebenarnya meningkatkan lagi tahap kekeringan mata. Antaranya, AMO blink™ yang mengandungi sodium hyaluronate iaitu bahan yang mencetuskan keadaan secara semula jadi pada lapisan mata untuk membantu melembap dan melincirkan mata kering pengguna kanta lekap.

Tahukan Anda ?

Jika anda menaikkan kerusi di meja komputer supaya kedudukan anda lebih tinggi dan merenung ke bawah untuk melihat skrin komputer, anda mampu mengurangkan tahap pengeringan air mata kerana ia mengurangkan paras pendedahan kepada komputer. Langkah mudah untuk menjadikan mata anda berasa lebih selesa.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

INFLUENZA BOLEH BAWA MAUT

BERITA HARIAN : Diagnosis
30/03/2008 (Ahad)

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my


Masalah jangkitan pernafasan memang wujud di negara ini dan berpotensi menjadi wabak pembunuh

INFLUENZA atau masalah jangkitan pernafasan adalah penyakit yang mudah merebak dan jika menyerang kanak-kanak, ia mengambil masa lama untuk sembuh.

Ramai doktor menganggap influenza tidak berlaku di Malaysia, kerana negara ini adalah negara tropika yang tidak mengalami musim sejuk. Sebab itu mereka tidak menyarankan kepada golongan berisiko dan warga emas mengambil vaksin influenz.

Kajian yang diketuai Ketua Jabatan Perubatan Mikrobiologi dan Imunologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Datin Dr Che Ilina Che Isahak, mendapati penyakit itu memang wujud di negara ini dan berpotensi menjadi wabak yang meragut nyawa.

Influenza mencapai kemuncaknya di negara ini antara April dan Jun, selain Oktober dan Disember setiap tahun.

Sejak dulu lagi, influenza berupaya menjadi pandemik yang meragut nyawa. Laporan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyebut antara lima hingga 15 peratus populasi dunia terjejas dengan masalah influenza.

Setiap tahun, antara 3 hingga 5 juta kes influenza yang sederhana dan kronik dicatatkan dengan kematian antara 250,000 dan 500,000 orang di seluruh dunia.

Prof Dr Che Ilina berkata, influenza walaupun kerap disamakan dengan selesema, ia adalah dua masalah kesihatan yang berbeza kerana masalah jangkitan pernafasan terjadi disebabkan virus influenza yang boleh berlaku pada tahap biasa hingga peringkat serius yang membawa maut.

“Contoh, jika warga tua, kanak-kanak, pesakit kardiovaskular, buah pinggang dan diabetes diserang influenza, mereka kemungkinan menemui maut,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kajian mendapati pengambilan vaksin influenza di kalangan warga tua (65 tahun ke atas) membantu mencegah 50 peratus kematian dan penurunan 48 peratus kes kemasukan ke wad.

“Pengambilan vaksin di kalangan mereka yang berusia antara 18 hingga 64 tahun pula membantu mencegah 78 peratus kematian, 87 peratus kemasukan ke hospital dan 26 peratus rawatan di klinik biasa.

“Tanpa vaksin, jika berlaku wabak influenza, kematian di kalangan pesakit diabetes dijangka meningkat hingga 30 peratus. Kemasukan ke hospital disebabkan influenza juga meningkat enam kali lebih banyak di kalangan pesakit diabetes manakala kemasukan pesakit ‘ketoacidosis” (glukos dalam darah yang tinggi) ke hospital juga meningkat hingga 50 peratus,” katanya.

Dalam satu Persidangan Persatuan Kardiologi Eropah 2003, sekumpulan penyelidik Argentina melaporkan terdapat penurunan hingga 66 peratus kes kematian disebabkan kardiovaskular di kalangan pesakit kardiak yang mengambil vaksin influenza.

Laporan yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England itu turut melaporkan vaksin influenza mengurangkan risiko strok dan serangan jantung.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Pakar Perunding Kardiologi, Datuk Dr Khoo Kah Lin, berkata walaupun pengambilan vaksin influenza bukan prosedur terbaik menangani masalah kardiologi, ia boleh dilihat sebagai sebahagian daripada cara untuk membantu pesakit kardiovaskular yang tersenarai antara kumpulan berisiko tinggi berhadapan komplikasi influenza.

“Bagaimanapun, tidak semua doktor di negara ini yang mengiktiraf kewujudan influenza di Malaysia, justeru ramai yang tidak menyarankan kepada pesakit untuk mengambil vaksin influenza,” katanya.

Serangan influenza sebenarnya berisiko tinggi menyebabkan mereka yang berhadapan dengan masalah kronik dalam sistem kardiovaskular dimasukkan ke wad atau berhadapan kematian.

Kajian pada 1999 dan 2000 mendapati pengambilan vaksin influenza di kalangan jemaah haji Malaysia membantu mengurangkan jumlah kematian di kalangan mereka, iaitu daripada 5.6 peratus sebelum vaksin influenza diperkenalkan kepada 3.8 peratus setahun kemudian.

Di barat, vaksin influenza adalah sebahagian daripada rutin berhadapan dengan musim sejuk

Kajian pada 2004 pula mendapati, vaksin influenza mampu mengurangkan 67 peratus risiko serangan jantung dengan pengurangan antara 20 hingga 70 peratus komplikasi jantung.

Kepentingan pengambilan vaksin influenza perlu diketahui kerana ia banyak membantu sekiranya penyakit itu menjadi pandemik. Sebagai contoh, di Indonesia hanya 300,000 vaksin diambil yang kebanyakannya oleh jemaah haji, tetapi apabila wabak selesema burung melanda negara itu, bekalan vaksin influenza meningkat mendadak hingga jumlahnya tidak mencukupi. Oleh itu, tidak hairan angka korban selesema burung di Indonesia begitu ramai.

Vaksin Influenza

Ada dua jenis vaksin

1. Jenis suntikan yang disuntik di lengan. Diluluskan penggunaannya untuk mereka yang berusia enam bulan ke atas termasuk mereka yang berhadapan penyakit kronik.

2. Jenis semburan pula diperbuat daripada virus influenza yang dilemahkan dan tidak akan menyebabkan influenza.

Oleh kerana virus penyebab (strain) influenza berubah-ubah setiap tahun, vaksin influenza juga perlu diambil setiap tahun dengan formulasi berbeza. Setiap tahun antara pertengahan Mac dan November vaksin baru akan dikeluarkan.

Walau apapun jenamanya, formulanya hampir sama. Vaksin awal tahun dikenali sebagai formulasi virus hemisfera selatan manakala vaksin akhir tahun dikenali sebagai formulasi virus hemisfera utara. Antara vaksin yang ada di pasaran penghujung Mac ialah Influvac dari Solvay Pharma.

Golongan yang berisiko berhadapan dengan komplikasi influenza

1) Pesakit diabetes mellitus

2) Mereka yang mengalami masalah sistem pernafasan dan lelah

3) Pesakit kardiovaskular

4) Pesakit buah pinggang

5) Pesakit dengan masalah sistem imun seperti pesakit HIV, mereka yang menerima rawatan barah atau yang menjalani pemindahan organ.

6) Kanak-kanak dan mereka yang berusia 65 tahun ke atas.

Antara komplikasi influenza

1) Radang paru-paru disebabkan jangkitan virus dan telinga tengah

4) Sawan (kanak-kanak)

5) Pendarahan di gastro usus

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

BERSENAM BOLEH TANGANI CMR

BERITA HARIAN : Diagnosis
06/04/2008 (Ahad)

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my

Sindrom metabolik bukan penyakit, sebaliknya risiko berkaitan dengan obesiti

MEREKA yang memiliki berat badan ideal tetapi berperut buncit lebih mudah berhadapan dengan masalah kesihatan yang digolongkan dalam kumpulan risiko kardiometabolik (CMR).

CMR atau sebelum ini dirujuk sebagai sindrom metabolik bukan penyakit, sebaliknya risiko berkaitan dengan obesiti dan terlebih berat. Ia meningkatkan kemungkinan anda diserang masalah kesihatan seperti penyakit jantung koronori, diabetes dan strok.

Ketua Pengarah Perubatan Sanofi Aventis Malaysia, Dr Bernard Ng, berkata CMR adalah ukuran pada risiko seseorang untuk diserang diabetes dan masalah jantung.

“Risiko CMR adalah masalah dunia termasuk Malaysia. Selain memiliki ukur lilit pinggang yang besar, ciri utama CMR juga termasuk diabetes, tekanan darah tinggi selain tahap kolesterol yang abnormal,” katanya.

Dr Bernard berkata, CMR bukan perkara baru kerana dianggarkan antara 20 hingga 30 peratus populasi di negara industri mengalaminya. Malah, dianggarkan menjelang 2010, CMR akan menjejaskan antara 50 hingga 75 juta orang di Amerika.

Mengenai pembedahan plastik untuk mengempiskan perut bagi mengatasi masalah ukur lilit pinggang yang besar dan perut buncit, Dr Bernard berkata, jika anda berhadapan dengan masalah insulin, tekanan darah dan kolesterol, prosedur sedut lemak bukanlah cara terbaik.

Beliau berkata, cara terbaik menangani CMR ialah mengamalkan diet pemakanan yang betul dan bersenam.

“Definisi gendut dan buncit sebagai ciri-ciri CMR dibahagi kepada beberapa kriteria, iaitu buncit atau gendut dengan ukuran lebih 90 sentimeter (35.4 inci) bagi lelaki dan lebih 80 sentimeter (31.4 inci) bagi wanita.

“Tahap tekanan darah pula ialah 130/85 ke atas dan glukos dalam darah ketika berpuasa menunjukkan 110 mg/dl,” katanya.

Menangani faktor risiko CMR, beliau berkata, ia bukan perkara yang terlalu sukar kerana hanya memerlukan kekuatan minda dan setinggi mana keinginan anda untuk menangani masalah itu dengan mengubah gaya hidup secara agresif.

Beliau berkata, perubahan gaya hidup mungkin membantu mengubah atau memperlahankan serangan penyakit serius yang disebabkan CMR.

“Menghindari CMR secara mudah pula dilakukan dengan mengubah gaya hidup. Memilih makanan yang berkhasiat, memulakan senaman dan berhenti merokok,” katanya.

Dalam perbincangan mengenai CMR, satu lagi isu ditimbulkan ialah memahami sistem endocannabinoid (sistem EC - sistem psikologi dalam tubuh yang bertanggungjawab mengawal keseimbangan tenaga, pemecahan glukos dan lemak).

Prof Beat Lutz dari Jabatan Psikologi Kimia, Universiti Johannes Gutenberg, Mainz, Jerman, berkata sistem EC sepatutnya boleh berfungsi dengan baik secara automatik (buka dan tutup).

Bagaimanapun, katanya jika ia selalu terbuka, keadaan itu akan membawa kepada masalah diabetes dan kardiovaskular kronik.

“Memperbaiki sistem EC bermaksud membaiki CMR, membaiki CMR bermaksud jauh daripada kemungkinan berhadapan dengan risiko diabetes, masalah ginjal kronik dan sebagainya,” katanya.

Prof Lutz berkata, sistem EC bertindak mengawal keseimbangan tenaga dan faktor menyebabkan obes.

Dalam kebanyakan penyelidikan berkaitan CMR kini, katanya sasaran adalah sistem EC yang menyebabkan pelbagai faktor risiko CMR.

Info

Antara ciri-ciri CMR
• Berperut buncit dan gendut. Berukuran lebih 90 sentimeter (35.4 inci) bagi lelaki dan lebih 80 sentimeter (31.4 inci) bagi wanita.
• Tahap tekanan darah 130/85 atau lebih
• Glukos dalam darah ketika berpuasa menunjukkan 110 mg/dl.
• Tahap kolesterol baik rendah. Untuk lelaki, kurang daripada 40 mg/dL. Untuk wanita kurang daripada 50 mg/dL.
• Lemak dalam darah (triglyceride) 150 mg/dL atau lebih

Antara punca CMR
• Obesiti atau terlebih berat
• Tidak bersenam
• Faktor genetik

Antara komplikasi CMR
• Penyakit jantung koronori
• Diabetes
• Strok
• Masalah ginjal kronik

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

TEKANAN DARAH TINGGI SUKAR DIKAWAL

BERITA HARIAN : Diagnosis
06/04/2008 Ahad

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my

Pesakit boleh diserang komplikasi kardiovaskular yang membawa maut

DI SELURUH dunia, kegagalan mengawal masalah tekanan darah tinggi kerap menjadi punca penyakit kronik seperti kardiovaskular dan masalah ginjal.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2002 menyebut, setiap tahun 5 juta kematian pra matang dicatatkan di seluruh dunia berpunca daripada tekanan darah tinggi.

Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Perunding Kardiologi, Datuk Dr Khoo Kah Lin, berkata senario yang sama juga berlaku di negara ini dan dianggarkan seorang daripada tiga warga Malaysia berusia 30 tahun ke atas berhadapan dengan masalah tekanan darah tinggi.

Bagaimanapun, katanya hanya enam daripada 100 pesakit berupaya mengawal masalah mereka.

“Pada peringkat global, tujuh daripada 10 pesakit tekanan darah tinggi tidak berupaya mengawal penyakit ini. Masalahnya, tanpa kawalan dan rawatan, ia boleh menyebabkan komplikasi kardiovaskular seperti serangan jantung, strok selain masalah buah pinggang,” katanya.

Dr Khoo berkata, pesakit diabetes yang juga didiagnos dengan tekanan darah tinggi adalah golongan pesakit yang paling gagal mengawal keadaan itu.

“Bacaan tekanan darah diukur dalam milimeter merkuri (mm Hg) dan memiliki dua nombor. Nombor pada bahagian atas adalah ukuran tekanan dalam arteri apabila jantung berdegup (systolic pressure), manakala nombor di bawah adalah ukuran tekanan arteri di antara degupan (diastolic pressure).

“Keadaan yang didefinisikan sebagai masalah tekanan darah tinggi terjadi apabila ia mencecah 140/90 mmHg atau lebih,” katanya.

Beliau berkata, apabila tekanan darah tinggi tidak dikawal, ia akan menjejaskan keupayaan seseorang untuk berfikir, mengingat dan belajar.

“Masalah kognitif dan otak (dementia) adalah antara keadaan yang biasa dialami mereka yang tidak mengawal tekanan darah tinggi dengan baik.

“Ia juga secara tidak langsung menjadi punca kes kematian dan kemerosotan kualiti hidup disebabkan oleh serangan jantung, strok dan kegagalan ginjal,” katanya.

Beliau berkata, dalam satu kajian didapati risiko kematian disebabkan serangan jantung secara langsung dikaitkan dengan tekanan darah tinggi. Lebih tinggi kadar tekanan darah anda, lebih tinggi juga risiko yang anda hadapi.

Bagaimanapun, katanya pada sesetengah individu, tekanan darah tinggi yang dialami berpunca daripada penyakit lain. Justeru, dalam kes seperti ini, jika faktor penyebabnya dapat ditangani, tekanan darahnya akan kembali normal.

“Keadaan ini disebut sebagai tekanan darah tinggi sekunder (secondary hypertension) dan selalunya ia disebabkan oleh tumor atau penyakit lain di kelenjar adrenal, kehamilan, penggunaan pil perancang atau kegagalan fungsi tiroid,” katanya.

Beliau berkata, walaupun punca sebenar tekanan darah tinggi tidak diketahui, ada beberapa faktor yang dikaitkan sebagai risiko tekanan darah tinggi.

“Ia boleh dibahagi kepada dua bahagian iaitu faktor risiko yang boleh diubah seperti obes, tidak bersenam, terlalu banyak mengambil garam dalam diet, minum arak dan merokok.

“Bahagian kedua pula membabitkan tekanan darah tinggi yang tidak boleh diubah iaitu umur - semakin tua semakin tinggi kemungkinan diserang tekanan darah tinggi, selain faktor bangsa, sejarah keluarga dan jantina,” katanya.

Dalam mengawal tekanan darah tinggi, katanya kebanyakan pesakit memerlukan ubat.

Bagaimanapun, Dr Khoo berkata, apa yang menjadi masalah apabila seorang pesakit terpaksa mengambil lebih daripada satu pil malah ada sehingga tiga untuk mengawal tekanan darah tinggi.

“Misalnya, pesakit diabetes yang juga didiagnos dengan tekanan darah tinggi perlu mengambil dua biji pil atau lebih,” katanya.

Beliau berkata, kini pesakit tidak lagi dibebani untuk mengambil terlalu banyak pil kerana di pasaran pada hari ini terdapat terapi dua dalam satu yang juga gabungan dua ubat tekanan darah tinggi valsartan dan amlodipine.

“Kedua-dua ubat ini digabungkan dalam satu formulasi dikenali sebagai Exforge® keluaran Norvartis Corporation. Ia bukan saja membantu mengurangkan jumlah pil yang perlu diambil oleh pesakit malah membantu dari segi jumlah wang yang dibelanjakan bagi membeli ubat setiap bulan," katanya.

Info : Panduan sasaran tekanan darah
• 140/90 mm Hg atau kurang - Jika anda orang dewasa yang sihat
• 130/80 mm Hg atau kurang - Jika anda pesakit ginjal kronik, diabetes atau masalah koronari arteri atau berisiko terhadapnya.
• 120/80 mm Hg atau kurang - Jika jantung anda tidak mengepam seperti sepatutnya kerana masalah jantung atau masalah ginjal sangat kronik.

Info : Global
• Di Australia 16 peratus kes baru penyakit ginjal tahap akhir (ESRD) disebabkan tekanan darah tinggi.
• Di Amerika mengikut statistik 2001, 91,636 dirawat kerana ESRD yang disebabkan tekanan darah tinggi.
• Di England, menurut Yayasan Jantung British, sekitar antara 80 hingga 85 peratus mereka yang terjejas dengan tekanan darah tinggi tidak dirawat.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
http://www.xmpsp.com/

Tuesday, April 1, 2008

SENAMAN TENTUKAN TAHAP KECERGASAN

BERITA HARIAN : Diagnosis
Bersama Dr Noordin Darus

Kajian saintifik menunjukkan manusia hanya perlu bersenam 15 hingga 20 minit untuk mengekalkan kesihatan tubuh

SAMA ada sedar atau tidak, sebahagian daripada badan anda bersenam ketika anda menjalankan kegiatan lazim. Misalnya, apabila berjalan di sekitar pejabat, meregangkan badan untuk mencapai sebuah buku, mengangkat barang runcit atau mendukung anak berumur tiga tahun atau membongkok untuk mengutip sesuatu.

Namun, tahap senaman berbeza antara setiap individu, yakni mereka yang mengamalkan rutin senaman yang berjadual secara khusus atau yang bersukan dan mereka yang tidak membuat sebarang senaman tambahan.

Senaman memainkan fungsi penting dalam hidup seharian kita. Senaman menentukan tahap kecergasan dan seterusnya menentukan tahap tenaga yang kita miliki untuk menjalankan kegiatan seharian. Kecergasan sebenarnya boleh dibahagikan kepada kecergasan fizikal dan kecergasan mental. Secara amnya, seseorang dianggap cergas dari segi fizikal sekiranya seharian bekerja.

Justeru, kebanyakan eksekutif akan gagal ujian kecergasan dengan mudah. Ini kerana duduk di meja selama lapan jam sehari menyebabkan suatu kelesuan yang tidak dapat dihilangkan di hujung hari. Oleh itu mereka tidak ada baki tenaga untuk menikmati masa lapang yang bermutu dengan keluarga.

Ada beberapa aspek kepada manfaat yang dapat diperoleh daripada senaman:

a) Minda

b) Kecergasan fizikal

c) Kesihatan

d) Lain-lain / keseronokan

Menurut kajian, untuk mencapai fungsi jantung dan peredaran darah yang optimum, sepatutnya anda perlu bersenam minimum tiga hari seminggu dan maksimum lima hari seminggu. Bagaimanapun, ia bergantung kepada jenis dan kegigihan senaman yang dilakukan.

Mulakan dengan senaman ringan dahulu kerana jantung anda tidak akan bersedia untuk menangani kegiatan tambahan yang mengejut. Anda juga akan berisiko diserang sakit jantung sekiranya bertindak keterlaluan.

Ada yang beranggapan senaman itu memerlukan masa yang banyak. Itu tidak semestinya benar. Bagi individu biasa seperti kita, kajian saintifik menunjukkan bahawa senaman berterusan selama 15 hingga 20 minit, tidak termasuk masa untuk memanaskan badan dan menyejukkan badan, memadai untuk menyelenggarakan peredaran darah yang baik dan otot yang sihat.

Senaman yang paling sesuai sepatutnya membabitkan penyedutan banyak oksigen yang “bersih”. Maksudnya, senaman itu seelok-eloknya dilakukan dalam persekitaran yang bersih dan bebas daripada pencemaran. Jika tidak, anda akan menyedut lebih banyak zarah karbon yang akan menyebabkan paru-paru anda terpaksa bekerja lebih masa untuk menghasilkan oksigen bersih.

“Saya terlalu tua untuk bersenam”. Anda patut berasa malu sekiranya anda menggunakan alasan itu untuk mengelakkan diri daripada bersenam. Seseorang itu tidak mungkin terlalu tua untuk bersenam. Semuanya berada di dalam minda saja. Tidak menjadi masalah sekiranya anda sudah berusia melebihi 55 tahun tetapi tidak pernah bersenam sehari pun dalam hidup anda. Anda boleh bermula hari ini!

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

CEDERA TULANG BELAKANG JEJAS PUNDI KENCING

BERITA HARIAN : Diagnosis
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my



Kerosakan pada saraf tunjang boleh sebabkan lumpuh

KEBANYAKAN kes kecederaan tulang belakang yang membabitkan saraf tunjang boleh menyebabkan kecacatan kekal dan lumpuh. Masalah ini tidak boleh dipulihkan sepenuhnya.

Justeru, rawatan lebih tertumpu kepada mengelakkan kerosakan sekunder pada saraf tunjang dan tulang di sekelilingnya yang boleh menyebabkan kecacatan atau lumpuh yang lebih teruk. Ada kes yang menyebabkan kematian terutama kerana komplikasi berkaitan sistem respiratori.

Pakar Perunding Ortopedik dan Pembedahan Trauma, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Khaizatul Ezam Abu Bakar, berkata kecederaan saraf tunjang tulang belakang atau ‘Spinal Cord Injury’ selalunya adalah trauma pada tulang belakang yang menyebabkan kecederaan pada saraf tunjang sama ada kecederaan primer (kerosakan saraf kekal sewaktu trauma) atau kecederaan sekunder (kerosakan lanjut pada saraf tunjang selepas trauma).

Dr Ezam berkata, antara kedua-duanya, kecederaan sekunder boleh dielakkan atau dikurangkan kesannya dengan rawatan tertentu.

“Saraf tunjang (spinal cord) adalah organ saraf atau neural yang bermula daripada pangkal otak dan berakhir pada tulang vertebra lumbar pertama dan kedua (L1/L2). Ia terletak di dalam saluran saraf tunjang (spinal canal) setiap vertebra yang bermula daripada vertebra servikal pertama.

“Saraf tunjang ini amat sensitif kepada sebarang kecederaan. Justeru, sebarang kecederaan boleh menyebabkan kerosakan yang kekal,” katanya. Dr Ezam berkata, secara umum kecederaan saraf tunjang dibahagikan kepada kecederaan penuh (complete transaction) atau tidak sepenuhnya (incomplete cord injury).

Kecederaan saraf tunjang sepenuhnya bermaksud kehilangan sepenuh kawalan saraf dan deria rasa (sensasi) dan fungsi otot dan organ pada bahagian yang cedera serta ke bawah tahap kecederaan terbabit.

Kecederaan saraf tunjang yang tidak sepenuhnya pula bermaksud saraf tunjang pada bahagian yang tercedera masih berfungsi. Contohnya, bagi kecederaan saraf tunjang tidak sepenuhnya ia boleh menyebabkan kelumpuhan otot tertentu tetapi deria rasa masih normal.

Selain itu, katanya, wujud risiko kedua-dua tangan dan kaki lumpuh jika kecederaan terjadi pada bahagian saraf tunjang servikal (di tengkok).

“Jika kecederaan saraf tunjang itu terjadi pada bahagian tulang belakang bawah (lumbar dan thorako-lumbar) ia boleh menyebabkan kedua-dua kaki lumpuh. Kawalan bagi pundi kencing dan anus juga akan mengalami kerosakan,” katanya.

Pada peringkat global, kecederaan tulang belakang memang masalah yang kerap berlaku. Di Amerika contohnya, 10,000 kes kecederaan tulang belakang dilaporkan setiap tahun. Dengan 200,000 orang di Amerika hari ini hidup dengan tangan, kaki atau kedua-duanya lumpuh.

Kecederaan tulang belakang selalunya disebabkan kemalangan jalan raya, kecederaan ketika bersukan, dibelasah dan jatuh dari tempat tinggi.

Rawatan

1. Rawatan awal ditumpukan untuk menstabilkan keadaan pesakit yang tercedera ini daripada mengalami kecederaan sekunder termasuk rawatan bantuan pernafasan jika diperlukan, pengawalan perdarahan dan rawatan kecederaan lain yang dialami pesakit trauma.

2. Peringkat rawatan susulan membabitkan pembedahan menstabilkan tulang belakang (jika perlu), rawatan fisioterapi dan rehabilitasi adalah amat penting sekali.

“Rawatan menstabilkan tulang belakang biasanya membabitkan pembedahan dan penggunaan implan bagi menstabilkan semula tulang belakang yang rosak. Bagaimanapun, pembedahan ini tidak bermaksud fungsi otot yang dikawal oleh saraf tunjang pada bahagian itu akan pulih seperti sedia kala,” katanya.

Tujuan pembedahan untuk menstabilkan tulang belakang bagi memudahkan proses rehabilitasi dan fisioterapi, mengurangkan atau mengelakkan kesan kecederaan sekunder kepada saraf tunjang pada bahagian tulang belakang yang berkenaan dan mengurangkan risiko deformasi lanjutan pada tulang belakang pada masa hadapan.

Selain itu, katanya sokongan keluarga sangat penting untuk membantu pesakit kembali pulih. Pesakit lumpuh tidak boleh bergerak sendiri. Jika tidak dibawa untuk menjalani sesi terapi dan rehabilitasi dan mendapat sokongan moral, motivasinya terjejas dan pesakit akan mudah mengalami kemurungan,” katanya.

INFO: Kesan kecederaan saraf tunjang
1. Pergerakan dan kawalan otot - ketidakupayaan mengawal otot.
2. Hilang sensasi - ketidakupayaan mengawal rasa panas, sejuk dan sakit. Malah, tidak boleh mengawal suhu badan.
3. Kawalan sistem organ - ketidakupayaan mengawal usus/pundi kencing selain kehilangan fungsi seksual dan tidak subur.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com